Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

105) PERUMAHAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana kerajaan membantu belia untuk memiliki rumah pertama?

    Untuk makluman Y.Berhormat, Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa langkah bagi membantu golongan belia untuk memiliki rumah pertama melalui pembelian unit rumah melibatkan Skim Rumah Selangorku, Skim Dana Sel, Skim Sewa Beli (Rent To Own) dan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ adalah seperti berikut:

    i. Skim Rumah Selangorku

    Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melaksanakan penawaran Rumah Selangorku kepada orang awam kepada golongan berpendapatan atau kategori B40 terutamanya projek Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B berharga RM42,000.00 seunit dan RM 100,000.00 seunit.

    ii. Skim Dana Sel

    Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.

    iii. Skim Sewa Beli (Rent To Own)

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengadakan cadangan berkerjasama beberapa pihak bank bagi mewujudkan satu skim sewa beli atau dikenali juga sebagai ‘Rent To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah dibawah RM 10,000-00 sebulan untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku. Sehubungan dengan itu, perkara ini dalam proses rundingan dan perbincangan lanjut oleh Kerajaan Negeri bersama dengan pihak bank berkaitan sebelum kertas pertimbangan diangkat dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

     iv. Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’

    Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan Skim Pembiayaan ‘Smart Selangor First Home Buyers’ yang bertujuan memberikan pembiayaan wang pendahuluan (deposit) kepada golongan B40 dan M40 sebanyak 10% ke atas pembelian Rumah Selangorku khususnya pembangunan yang dimajukan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan projek anak syarikat PKNS sahaja. Kerajaan Negeri telah bersetuju menyediakan perunt Walaubagaimanapun, berdasarkan rekod jumlah penawaran yang telah berjaya ditawarkan Rumah Selangorku kepada belia berumur dari 40 tahun ke bawah adalah melebihi 90% yang telah layak ditawarkan Rumah Selangorku.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri melalui LPHS turut bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dalam mewar-warkan modul pendidikan berkaitan perumahan di atas talian AKPK iaitu RUMAHKU untuk keperluan orang awam. Secara langsung, ianya membantu bakal pembeli rumah pertama untuk mendapatkan panduan dan maklumat yang berguna tentang pemilikan rumah sebelum pembelian dibuat. AKPK juga membantu mereka yang menghadapi masalah kegagalan mendapatkan pinjaman perumahan dengan melayari laman sesawang AKPK dibawah MyKNP bagi mengenalpasti punca dan masalah kegagalan pemohon mendapatkan pinjaman perumahan. Daripada itu, AKPK akan memberikan bantuan secara percuma dari segi penstrukturan semula pembiayaan / pinjaman pemohon sedia ada ke arah pengurusan kewangan yang lebih bijak dan stabil. Akhirnya, ianya dapat membantu pemohon untuk mendapatkan pembiayaan perumahan pada masa akan datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.