Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

209) PERUMAHAN DAN GOLONGAN B40

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah Kerajaan Negeri bagi membantu golongan B40 di Selangor untuk memiliki rumah kategori ini?

    Antara langkah Kerajaan Negeri bagi membantu golongan B40 di Selangor untuk memiliki Rumah Selangorku melalui 2 kaedah atau pendekatan sama ada melalui pembelian atau sewaan unit.

    Kaedah pertama adalah melalui pembelian unit melibatkan Skim Rumah Selangorku, Skim Dana Sel dan Skim Sewa Beli (Rent To Own) adalah seperti berikut:

    • Skim Rumah Selangorku

    Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah melaksanakan penawaran Rumah Selangorku kepada orang awam dengan menawarkan pelbagai Jenis Rumah Selangorku yang berharga bermula pada                               RM 42,000.00 seunit sehingga RM 250,000.00 seunit. Sehingga kini, keseluruhan unit dalam pembinaan adalah sebanyak 22,274 unit Rumah Selangor dimana Jenis A sebanyak 881 unit, Jenis B sebanyak 3,264 unit, Jenis C sebanyak 8,309 unit dan Jenis D sebanyak 9,820 unit yang boleh ditawarkan kepada orang awam untuk mendapat peluang memiliki kediaman mampu milik mampu tersebut.

    • Skim Dana Sel

    Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu PHSSB menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.

    • Skim Sewa Beli (Rent To Own)

     

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang mengadakan cadangan berkerjasama beberapa pihak bank bagi mewujudkan satu skim sewa beli atau dikenali juga sebagai                            ‘Rent To Own’ khususnya untuk pembeli Rumah Selangorku di Negeri Selangor. Skim ini dapat membantu golongan B40 dan M40 yang berpendapatan isi rumah dibawah RM 10,000-00 sebulan untuk memiliki kediaman Mampu Milik atau Rumah Selangorku.

    Sehubungan dengan itu, beberapa siri perbincangan telah diadakan oleh pihak LPHS bersama dengan pihak bank berkaitan dan perkara ini dalam penelitian secara terperinci daripada semua pihak terlibat. Ini bagi memastikan mekanisma pelaksanaan ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan komprehensif serta mencapai objektif kepada golongan sasaran yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri. Setelah itu, cadangan tersebut akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan.

    Manakala kaedah kedua adalah sewaan melibatkan Skim Smart Sewa dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah seperti berikut ;

    • Skim Smart Sewa

     

    Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun.

    Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku  pada  masa  akan  datang.  Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)  akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan.

    Pembelian sebanyak 979 unit rumah mampu milik telah dilaksanakan                  di bawah Skim Smart Sewa oleh LPHS di mana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) dilantik sebagai agen pengurusan bagi melancarkan pelaksanaan skim ini.

    Sehingga kini, 431 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM900.00 sebulan. Manakala sebanyak 248 unit dalam proses penyerahan unit kepada LPHS dan juga sewaan unit kepada orang awam dan baki sebanyak 300 unit masih dalam pembinaan di tapak.

     

     

    • Skim Projek Perumahan Rakyat (PPR)

     

    Kerajaan Negeri telah mewujudkan Skim Perumahan untuk disewakan sahaja kepada mereka yang berpendapatan seisi keluarga kurang dari RM3,000.00 sebulan. Kadar sewaan yang dikenakan kepada penyewa pada harga sewaan RM 124.00 sehingga RM 250.00 sebulan berbanding kadar sewaan pasaran semasa sekitar RM 400.00 sehingga RM 650.00 sebulan. Secara langsung, ianya membantu golongan ini untuk mendapat manfaat daripada kadar sewaan yang rendah dan lebihan pendapatan mereka boleh digunakan sebagai simpanan sehingga mereka berkemampuan untuk tujuan pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang.

    Berikut adalah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang ditawarkan kepada orang awam seperti berikut :

     

    BIL LOKASI BIL. UNIT BIL PENGHUNI BAKI UNIT KOSONG PENGENDALI PENGURUSAN
    1. PPR Hicom 980 980 0 LPHS PHSSB
    2. PPR Serendah 300 125 175 LPHS PHSSB
    3. PPR Kota Damansara 1,152 1152 0 MBPJ PHSSB
    JUMLAH 2,432 2,257 175    

     

Lampiran

Tiada Lampiran.