Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

39) PERUMAHAN KOS RENDAH

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status siasatan terbaru terhadap pemilikan rumah kos rendah oleh pegawai-pegawai PBT yang tidak berkelayakan?

    Kerajaan Negeri memandang serius kes yang melibatkan pegawai-pegawai Pihak
    Berkuasa Tempatan (PBT) yang tidak berkelayakan memiliki rumah kos rendah di
    Negeri Selangor. Dasar Kerajaan Negeri adalah jelas bahawa selain setinggan,
    pemilikan rumah kos rendah adalah disasarkan kepada golongan yang
    berpendapatan RM2,500.00 dan ke bawah. Bakal pembeli rumah kos rendah
    hendaklah berdaftar dalam Sistem Pendaftaran Rumah Kos Rendah (SPPR) yang
    berpusat di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) bagi menentukan
    kelayakan mereka.
    Buat masa ini LPHS masih menjalankan semakan dan meneliti senarai nama
    kakitangan setiap PBT yang mempunyai pendapatan melebihi RM2,500.00 ke atas.
    Semua PBT telah diminta untuk mengemukakan senarai nama kakitangan mereka
    kepada LPHS untuk disemak sama ada memiliki atau tidak rumah kos rendah.
    Kerajaan Negeri akan mencari kaedah penyelesaian kepada permasalahan ini
    setelah data-data selesai dikaji dan disemak oleh LPHS. Mesyuarat Majlis Mesyuarat
    Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. Ke 19/2010 juga telah memutuskan supaya pegawaipegawai yang telah pun memiliki rumah kos rendah tetapi tidak layak dari segi jumlah
    pendapatan, mereka akan diminta untuk menyerahkan semula unit rumah yang
    dimiliki kepada Kerajaan Negeri untuk dijual semula mengikut harga pasaran.
    Untuk kes yang melibatkan pemilikan rumah kos rendah oleh pegawai dan
    kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ianya sedang disiasat oleh satu
    Jawatankuasa Khas yang dilantik oleh MBPJ. Jawatankuasa ini terdiri daripada 4
    orang Ahli Jawatankuasa Audit Dan Tadbir Urus (JATU) dan seorang Ahli Majlis.
    Jawatankuasa ini berperanan untuk menyiasat dan membuat laporan kes tersebut
    dengan membuat soal siasat terhadap kakitangan MBPJ dan pemaju di samping
    meneliti minit-minit mesyuarat dan fail-fail yang berkaitan. Laporan penuh siasatan
    akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri setelah Jawatankuasa selesai
    menjalankan soal siasat dan menyiapkan laporan berkenaan kes salah guna kuasa
    di kalangan pegawai PBT untuk memiliki rumah kos rendah.
    Adalah ditegaskan bahawa pemantauan yang dilakukan ini tidak bermakna Kerajaan
    Negeri ingin menyekat kakitangan kerajaan di Negeri Selangor daripada memiliki
    RKR asalkan mereka benar-benar layak serta menepati syarat dan prosedur sedia
    ada yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.