Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

44) PERUMAHAN MAMPU MILIK

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah peranan LPHS menyedia rumah mampu milik sebelum ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum ini lebih fokus kepada kawalan pemilikan dan pengagihan rumah rumah kos rendah, kepada golongan yang berpendapatan rendah dan golongan yang berkelayakan untuk memiliki rumah kos rendah di Negeri Selangor. Kemudiannya bermula awal tahun 2013 fungsinya dikembangkan dengan pengawalan pemilikan terhadap rumah kos sederhana rendah, rumah kos sederhana dan rumah-rumah mampu milik. Ini kerana semua pemaju yang disyaratkan untuk menyediakan rumah-rumah tersebut perlu mendapatkan senarai nama pembeli daripada LPHS.

    Berdasarkan kepada kelulusan Bajet Negeri Selangor 2013 yang telah dibentangkan oleh Yang Amat Berbormat Dato’ Menteri Besar pada tahun lepas telah mengumumkan sebanyak RM50 juta diperuntukkan kepada LPHS untuk membangunkan Rumah Mampu Milik yang berkonsepkan Pre-Fabricated – IBS (Pasang Siap). Dana ini kemudiannya telah ditambah kepada RM100 juta berdasarkan kepada Manifesto PRU-13 Pakatan Rakyat.

    Ketika ini LPHS sedang mengenalpasti beberapa tapak cadangan tanah milik Kerajaan Negeri yang berpotensi lagi strategik untuk didirikan dengan Projek Perumahan Mampu Milik Selangor. Kerajaan berhasrat untuk menjadikan perumahan mampu milik ini yang lebih komprehensif, rekabentuk terkini, penyediaan kemudahan yang lengkap, selesa dan harga jualan yang mampu milik iaitu tidak lebih daripada RM150,000 seunit. Buat permulaan dijangkakan sebanyak tidak kurang 300 unit akan mula dibina sebaik sahaja Kajian Fisibiliti Projek siap disediakan yang dijangka kerja-kerja tanah akan bermula pada Disember 2013.

    Penyediaan Rumah Mampu Milik Berkonsep Pre-Fabricated – IBS ini dijangka akan membantu Kerajaan Negeri dalam menambahkan lagi stok Rumah Mampu Milik selain daripada penyediaannya oleh PKNS, PNSB dan pemaju-pemaju swasta yang lain bagi memenuhi keperluan semasa dan akan datang .

Lampiran

Tiada Lampiran.