Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

90) PERUMAHAN (MASALAH PENEMPATAN SETINGGAN)

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kita menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas ke arah menyelesaikan masalah pemindahan setinggan di Bukit Botak, Selayang yang telah berlarutan begitu lama. Sejauh manakah Kerajaan Negeri dapat menjamin laporan Jawatankuasa Khas ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan

    Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat telah memutuskan hanya akan menyelesaikan setinggan di atas tanah kerajaan sahaja dengan tidak lagi mengguna Akta Darurat 1969 tetapi mengguna peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965. Setiap Pihak Berkuasa Tempatan telah diarahkan agar memantau tanah-tanah kerajaan terutama kawasan yang telah wartakan sebagai  tanah rizab, hutan simpan dan kawasan lapang. Bagi mengelakkan sebarang masalah mengeluarkan setinggan daripada tapak pada masa akan datang, Kerajaan Negeri memutuskan supaya Pejabat Tanah Dan Daerah tidak lagi meluluskan permohonan Lesen Menduduki Sementara (LMS) atas mana-mana tanah rizab  agensi kerajaan terutamanya yang melibatkan rizab sungai dan jalan.

     

    Dasar Kerajaan Negeri Selangor dalam menangani masalah pendudukan secara tak sah adalah seperti berikut :-

    1. Satu keluarga memiliki satu rumah yang sempurna ;
    2. Penghuni rumah yang dibanci akan ditawarkan rumah kos rendah pada harga RM35,000.00 seunit di mana subsidi RM7,000.00 akan ditanggung oleh pemilik tanah sama ada pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan atau Pihak Berkuasa Berkanun yang mengawal tanah tersebut.
    3. Sagu hati perpindahan maksima sebanyak RM2,000.00 sekeluarga dan dibayar oleh Pegawai Pengawal.

    Bancian ke atas pendudukan secara tak sah oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan dan Pentadbir Tanah juga telah diselaraskan dengan mengguna pakai Manual Prosedur bancian yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri. Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) telah diarahkan supaya mematuhi kaedah bancian yang telah ditetapkan supaya kerja-kerja bancian dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan seragam. Ini juga dapat mengelakkan sebarang pertikaian senarai nama bancian pada masa akan datang. Walau bagaimanapun pemindahan dan perobohan akan hanya dibuat apabila terdapat tanah milik kerajaan yang perlu dibangunkan segera.

Lampiran

Tiada Lampiran.