Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

85) PERUMAHAN (MASALAH PERUMAHAN TERBENGKALAI)

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah kerajaan negeri untuk membantu pembeli-pembeli rumah di projek terbengkalai yang terlalu banyak di negeri Selangor.

    Untuk makluman semua Yang Berhormat, sememangnya Kerajaan Negeri amat prihatin di atas nasib pembeli-pembeli rumah yang terlibat dengan projek terbengkalai. Walaupun begitu Kerajaan Negeri hanya boleh mengambil tindakan secara pentadbiran sahaja bagi membantu pembelipembeli tersebut. Ke arah ini Kerajaan Negeri telah mengambil  beberapa langkah pro aktif ke arah membantu pembeli-pembeli projek yang terbengkalai untuk memahami situasi yang mereka hadapi dan bertindak sebagai pemudah cara dalam menasihati mereka  bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menyalurkan aduan tersebut kepada pihak yang berkaitan seperti KPKT, bank dan Pihak Berkuasa Tempatan.

     

    Langkah-langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pembeli adalah seperti berikut :

     

    • Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.

     

    • Bagi projek terbengkalai di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ia akan dirujuk kepada KPKT untuk mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi penyusunan semula pembiayaan pinjaman manakala bagi kes yang tidak berdaftar di bawah KPKT, LPHS akan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai tersebut.

     

    • LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.

     

    • Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk membuat keputusan.

     

    • Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung, perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan diaturkan dari masa ke semasa untuk menyemak sama ada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) boleh mencadangkan mana-mana ‘liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa bagi mempercepatkan pemulihan semula projek Bagi projek-projek yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima pula perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.

     

    • Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu ingin diteruskan.

     

    • Kerajaan Negeri juga sebagai tindakan terakhir telah mengambil tindakan perampasan beberapa keping tanah atas faktor wujud pelanggaran peruntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah S.100 KTN dan pelanggaran syarat di bawah S.129 KTN bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin.

     

    • Penubuhan Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai yang dipengerusikan oleh Y.B. Saari Sungib ADUN Hulu Kelang di mana tiga Konsultan iaitu Rimbun Capital Sdn. Bhd., RSS-PMC Sdn Bhd. dan Kumpulan Muhandis Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan jawatankuasa ini bagi membantu untuk menilai semula sama ada projek  terbengkalai tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini terdapat 48 projek dalam proses kajian pihak konsultan.

     

    Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah. Begitu juga keadaannya apabila pembeli-pembeli rumah mereka terbengkalai. Kerajaan Negeri tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun pembeli boleh merujuk terus kes mereka ke Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.

Lampiran

Tiada Lampiran.