Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

58) PERUMAHAN PEKERJA ASING

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Masalah tempat tinggal pekerja asing, telah menjadi satu masalah lama yang masih berterusan. Kebanyakan tuan punya kilang yang mengambil pekerja ini menempatkan mereka di mana-mana sahaja tanpa mematuhi apa jua garis panduan. Akibatnya ramai pekerja asing ditempatkan di rumah sewa di sesebuah taman perumahan atau di sesebuah rumah pangsa kos rendah. Keadaan sedemikian menimbulkan pelbagai masalah sosial dan pertelingkahan di antara pekerja asing dan penduduk tempatan. Pekerja asing ini juga hidup dalam keadaan yang tidak selesa kerana majikan memuatkan ramai pekerja dalam satu rumah sewa demi menjimatkan kos. Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mendesak para majikan pekerja asing ini, agar mereka ditempatkan di tempat yang khusus, selesa dan tidak mewujudkan masalah kepada penduduk setempat.

    Kerajaan Negeri melalui PBT mengawal perkara ini melalui peruntukkan undang-undang yang boleh diambil kepada para majikan di bawah Akta 171 (Akta Kerajaan Tempatan 1976) dan Akta 133 (Akta Jalan Parit dan bangunan) seperti berikut:

    • Seksyen 78 Akta 171 – Rumah yang diduduki dengan penuh sesak

    Seseorang yang membenarkan sesebuah rumah diduduki dengan sebegitu penuh sesak hingga mendatangkan bencana atau bahaya kepada kesihatan penduduknya melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau keduaduanya dan didenda tambahan tidak melebihi satu ratus ringgit bagi setiap satu hari selama tempoh kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

    • Seksyen 79 Akta 171 – Bila rumah disifatkan sebagai “penuh sesak”

    Bagi maksud Akta ini, sesebuah rumah hendaklah disifatkan sebagai sebegitu penuh sesak hingga mendatangkan bahaya atau mudarat kepada kesihatan penduduknya jika rumah itu atau mana-mana bilik di dalamnya didapati diduduki lebih daripada kadar seorang dewasa bagi tiap-tiap tiga ratus lima puluh kaki padu luang dalam bersih dan dalam pengiraan itu tiap-tiap orang berumur lebih daripada sepuluh tahun hendaklah disifatkan sebagai seorang dewasa dan dua orang kanak-kanak berumur tidak lebih daripada sepuluh tahun hendaklah dikira sebagai seorang dewasa.

    • Seksyen 80. Kacau ganggu hendaklah dihapuskan

    Pihak berkuasa tempatan hendaklah mengambil langkah bagi memberhentikan, memusnahkan dan menghapuskan segala  kacau ganggu dari jenis awam dalam kawasan pihak berkuasa tempatan itu pada premis awam atau persendirian dan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap seseorang yang melakukan mana-mana kacau ganggu itu bagi menghapuskannya dan juga bagi mendapatkan ganti rugi.

     

    • Seksyen 85. Bangunan yang boleh dimasuki oleh orang ramai hendaklah bersih.

    1)    Pemunya atau penduduk bagi sesuatu bangunan atau manamana bahagiannya yang boleh dimasuki oleh orang ramai hendaklah—

    1. selalu membersihkannya dan sentiasa menjaga kebersihan bangunan itu atau bahagiannya supaya berada dalam keadaan bersih dan baik dan juga menjaga supaya ia berada dalam keadaan baik; dan
    2. menjaga bangunan itu atau bahagiannya supaya bebas daripada apa-apa keadaan yang boleh membahayakan nyawa atau kesihatan pekerjanya, orang ramai dan pengguna lain bangunan itu atau bahagiannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.