PERUMAHAN TERBENGKALAI

27) PERUMAHAN TERBENGKALAI

Tahun:

Sesi:

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat banyak projek perumahan terbangkalai di Negeri Selangor ini salah satu ialah Projek Pembesaran Kampung Koskan, Sungai Choh. Pembeli yang terlibat telah menghadapi pelbagai masalah sejak sembilan tahun lalu untuk mendiami rumah mereka kerana tidak disiapkan oleh pemaju. Apakah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri terhadap projek perumahan pembesaran Kampung Koskan ini dan Bolehkah dijelaskan apakah status dan kemajuan projek tersebut ?

    1. Untuk makluman Berhormat, beberapa siri mesyuarat telah diaturkan oleh LPHS, Pejabat Tanah Hulu Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor, termasuk jabatan teknikal seperti JPS, TNB dan SYABAS dan kontraktor projek iaitu Ehsanibu Sdn Bhd bagi tujuan mempercepatkan kaedah pemulihan projek tersebut dengan mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula.

    Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil tindakan ke atas kontraktor terbabit dengan mendapatkan nama-nama Ahli Lembaga Pengarah tersebut daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)  dan turut  dipaparkan dalam laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) Di samping itu nama-nama pemaju yang disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan untuk melaksanakan apa-apa pembangunan di Negeri Selangor termasuk membuat permohonan untuk pembangunan tanah walaupun mereka hanya berperanan sebagai salah seorang pemilik syer sahaja di bawah syarikat pemaju lain.

    Berdasarkan laporan terkini daripada kontraktor terbabit memaklumkan permohonan kebenaran untuk membangunkan pencawang TNB di atas tanah kerajaan bagi membekalkan bekalan elektirk kepada tapak projek ini telah mendapat persetujuan daripada Pejabat Tanah Hulu Selangor. Sehingga kini, kontraktor terbabit masih berusaha mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Teknikal seperti JPS, TNB dan SYABAS bagi mempercepatkan usaha pemulihan projek tersebut. Berdasarkan kemajuan kerja di tapak mendapati pembinaan bangunan telah mencapai 85% siap iaitu bagi pembeli-pembeli yang telah diluluskan pinjaman sahaja manakala pembeli-pembeli yang masih belum mendapat kelulusan pinjaman peratus penyiapan adalah berbeza. Walaubagaimanapun, kerja-kerja pembinaan ditapak adakalanya berjalan semula dan adakalanya terhenti sementara, ini menyebabkan pemulihan projek ini mengambil masa yang panjang dan meningkatkan kos pemulihan.

Lampiran

Tiada Lampiran.