Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Mac - 3 April 2015 dan 6 April - 9 April 2015

20) PERUMAHAN TERBENGKALAI – PROJEK TAMAN KAMPUNG SUNGAI YU INDAH

Tahun: 2015

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Pihak pembeli telah dijanjikan oleh kerajaan negeri untuk menyiapkan projek berkenaan pada tahun 2014 - status terkini projek taman kampung sungai yu indah?

    Projek Taman Sungai Yu Indah merupakan projek usahasama antara Pemodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dengan Tetuan Serambi Padu Sdn Bhd yang dimajukan di bawah Skim Program Khas Perumahan Kos Rendah melibatkan pembangunan keseluruhan 499 unit dengan jumlah unit terjual sebanyak 107 unit/pembeli. Untuk itu, beberapa siri mesyuarat telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (JPPT) yang dipengerusikan oleh Y.B Dato’ Iskandar Bin Abdul Samad, EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar bagi membantu ke arah pemulihan projek terbengkalai.

    Berdasarkan status terkini, keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 38/2014 pada 1 Oktober 2014 ke 2014 telah meluluskan permohonan SPNB bagi meminda  cadangan pembangunan daripada 499 unit RKR kepada 107 unit RKR (kekal sedia ada), 120 unit Rumah Kos Sederhana dan 272 unit Teres Mampu Milik. Ini bertujuan bagi membolehkan projek tersebut berdaya maju untuk dipulihkan semula dan membantu menyelesaikan masalah projek berkenaan terus terbengkalai akibat daripada projek defisit.

    Berikutan itu, pemaju Serambi Padu Sdn Bhd telah mengemukakan pindaan Pelan Kebenaran Merancang kepada Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) pada 10 Disember 2014 dan kini di peringkat akhir perakuan kelulusan. Ketika ini, kerja-kerja pembinaan di tapak telah terhenti sehingga kelulusan Pelan Pembangunan dari segi kebenaran Merancang, Pelan Bangunan dan Lesen dan Permit Jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan diperolehi semula bagi membolehkan projek diteruskan semula.

    Pada masa yang sama, pihak pemaju telah mengambil tindakan bagi memindahkan (swap) sebahagian daripada pembeli sedia ada daripada Fasa 2 untuk dikelompokkan dalam pembangunan RKR di Fasa 1. Walau bagaimanapun, perkara tersebut akan mengambil masa yang panjang untuk diadakan perbincangan dengan setiap pembeli termasuk membatalkan perjanjian asal dan menandatangani perjanjian baru untuk ditawarkan ke unit baru.

    Bagi memastikan projek ini dapat disiapkan mengikut jadual perancangan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi maka Mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai (JPPT) akan melaksanakan pemantauan berkala setiap 2 bulan sekali untuk melihat perkembangan kemajuan projek dan tindakan yang dapat diambil bagi menangani masalah yang wujud dengan kadar segera. Projek ini dijangkakan dapat disiapkan dan diserahkan kepada pembeli selewat-lewatnya pada pertengahan tahun 2016 sekiranya pelaksanaannya mengikut jadual perancangan yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.