Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

107) PERUNTUKAN DAN PELAKSANAAN PROGRAM-PROGRAM DI BAWAH PWB

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Mengapakah peruntukan PWB dihadkan sebahagian kepada "Capacity Program" semata-mata?

    Bermula tahun 2019, sebahagian peruntukan Pusat Wanita Berdaya (PWB) telah diperuntukkan kepada Program Pembinaan Kapasiti kerana bilangan pelaksanaan Program Pembinaan Kapasiti di komuniti DUN kurang memuaskan iaitu daripada sejumlah 1,318 program dilaksanakan di 56 DUN, sebanyak 399 Program Pembinaan Kapasiti sahaja dilaksanakan berbanding 919 Program Kemahiran. Selain itu, taburan pelaksanaan program Pembinaan Kapasiti di 56 DUN juga tidak seimbang.

    Matlamat utama Program Pembinaan Kapasiti ini dianjurkan adalah untuk memberdaya wanita di komuniti dari aspek pembinaan jati diri, kefahaman undang-undang, pengarusperdanaan gender, tata kelola baik, kesihatan wanita dan keluarga, pengurusan kewangan dan lain-lain. Bertepatan dengan tema Hari Wanita iaitu ‘Seimbang Untuk Sejahtera’ dan ‘Setara Untuk Semua’, maka program-program anjuran Pusat Wanita Berdaya Selangor juga mestilah seimbang di antara dua (2) jenis modul iaitu Modul Kemahiran dan Modul Pembinaan Kapasiti.

Lampiran

Tiada Lampiran.