Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

43) PERUNTUKAN INFRASTRUKTUR UNTUK KAMPUNG-KAMPUNG MELAYU DAN KAMPUNG-KAMPUNG TRADISI

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Mohd Khairuddin Bin Othman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan negeri mempunyai peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur?

    Kerajaan Negeri ada menyediakan peruntukan khusus tahunan untuk
    pembangunan kampung Melayu dan kampung tradisi di bawah peruntukan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang dikawal selia oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri. Peruntukan tersebut disediakan bagi tujuan projek pembangunan luar bandar yang menumpukan kepada kerja-kerja baik pulih kemudahan asas desa dan jalan-jalan kampung di bawah kawalan Pejabat Daerah. Pelaksanaan projek-projek membina baru / membaikpulih / menaiktaraf pembangunan infrastruktur kampung melayu dan kampung tradisi adalah berdasarkan permohonan yang telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sama ada daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) / Ketua Komuniti, aduan penduduk serta pemantauan yang dibuat sendiri oleh Pejabat Daerah/Tanah dan permohonan tersebut dirujuk kepada Ahli Dewan Negeri di kawasan berkaitan. Pemilihan projek-projek tersebut adalah berdasarkan keperluan dan tahap kritikal sesuatu permohonan projek.
    Kerajaan Negeri prihatin terhadap keperluan pembangunan di kawasan luar
    bandar termasuk kawasan kampung Melayu dan kampung tradisi di Negeri
    Selangor dan sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar terutamanya pembangunan infrastruktur dan sosial untuk ditambah baik.  Bagi menunjukkan kesungguhan tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan khusus setiap tahun sebanyak RM12.9 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur kampung Melayu dan kampung tradisi dan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh, bagi tempoh empat (4) tahun; iaitu daripada tahun 2011 sehingga tahun 2014, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM 85,713,559.19 (Ringgit Malaysia: Lapan Puluh Lima Juta Tujuh Ratus Tiga Belas Ribu Lima Ratus Lima pUluh Sembilan dan Sen Sembilan Belas
    Sahaja) dengan melaksanakan 3,263 projek pembangunan infrastruktur seperti pembaikan jalan, longkang dan perparitan, jambatan, balai Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan kampung tradisi, dewan serbaguna serta kemudahan sukan melibatkan sembilan (9) daerah di Negeri Selangor.
    Selain penyediaan peruntukan khusus tersebut, Kerajaan Negeri juga sedia
    mempertimbangkan permohonan dari masa ke semasa sekiranya keperluan
    pelaksanaan projek pembangunan tersebut adalah mendesak.

Lampiran

Tiada Lampiran.