Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

8) PERUNTUKAN KECEMASAN INFRASTRUKTUR KAMPUNG

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan kecemasan untuk menaiktaraf longkang dalam kawasan kampung yang sudah lama tidak diselenggara dan diperbesarkan?

    Berdasarkan bajet tahunan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, tiada peruntukan khas bagi kerja-kerja kecemasan untuk menaik taraf infrastruktur di luar bandar seperti jalan, longkang dan sebagainya. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui bajet tahunan ada menyediakan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja infrastruktur jalan di bawah VOT P01 02006 Menaik taraf/baik pulih Jalan Luar Bandar yang akan disalurkan berdasarkan permohonan daripada Pejabat-pejabat Daerah/ Tanah di Negeri Selangor.

    Selain daripada peruntukan daripada Kerajaan Negeri, terdapat juga peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan yang dapat digunakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur jalan dan longkang yang telah didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS). Peruntukan ini pula adalah berdasarkan panjang jalan yang telah didaftarkan di bawah MARRIS dan sebarang pendaftaran baru adalah berdasarkan permohonan daripada Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat-pejabat Tanah/ Daerah dan juga Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan.

Lampiran

Tiada Lampiran.