Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

159) PERUNTUKAN KHAS PENGUPAYAAN KAMPUNG-KAMPUNG

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri akan menambahkan jumlah peruntukan kepada Majlis Pembangunan Komuniti Kampung MPKK?

    Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) merupakan jentera pentadbiran di peringkat akar umbi yang dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi membantu serta memudahkan pengurusan pentadbiran, memantau dan mengagih pembangunan secara menyeluruh serta adil terhadap semua penduduk kampung. Ia juga berperanan membantu melaksanakan agenda dan dasar-dasar Kerajaan dalam melahirkan komuniti yang berdaya saing dan cemerlang.

    Peranan MPKK bukan sahaja merupakan sebagai institusi kepimpinan penting di peringkat akar umbi dan nadi pembangunan desa, malahan kini dilihat sebagai ejen Transformasi Luar Bandar yang bertanggungjawab di dalam mentadbir dan memajukan sesebuah kampung serta menjadi badan penggerak utama di dalam mengembleng sumber tenaga, pembangunan dan perubahan sikap masyarakat kampung ke arah membentuk warga desa yang berdaya maju serta inovatif.

    Justeru pentingnya peranan MPKK sebagai tonggak pembangunan masyarakat di luar bandar, Kerajaan Negeri melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 18/2018 pada 27 Jun 2018 yang telah disahkan oleh MMKN ke 19/2018 pada 4 Julai 2018 telah meluluskan cadangan kenaikan peruntukan pembangunan Kampung Tradisi Negeri Selangor daripada RM10,000.00 kepada RM20,000.00. Kenaikan peruntukan ini berkuatkuasa 1 Januari 2018 dan akan disalurkan terus kepada semua Pejabat Daerah dan Tanah di Negeri Selangor.

    Peruntukan ini bertujuan untuk digunakan oleh MPKK bagi menganjurkan program-program kemasyarakatan dan keceriaan yang melibatkan penduduk kampung dikawasan masing-masing. Antara aktiviti dan program yang boleh dilaksanakan menggunakan peruntukan tersebut ialah program gotong-royong, Majlis Jamuan Hari Raya, pemberian sumbangan kepada penduduk kampung yang kurang mampu serta lain-lain program kemasyarakatan yang dirasakan releven dan memenuhi skop program yang telah ditetapkan.

    Selain daripada itu, mulai tahun 2019 ini Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM100 juta setahun melalui geran pembangunan untuk disalurkan kepada MPKK yang layak bertujuan membiayai projek dan program penjanaan peningkatan ekonomi kampung, selain berkaitan usaha meningkatkan kesejahteraan serta keceriaan kampung. Geran ini akan memberikan manfaat kepada 10,000 daripada 16,749 kampung di seluruh Malaysia.

    Geran daripada KPLB tersebut menawarkan peruntukan maksima RM10,000.00 bagi setiap MPKK bertujuan untuk melaksanakan projek atau program di kampung masing-masing. Walau bagaimanapun, bagi mendapatkan peruntukan ini, MPKK perlu mengemukakan kertas cadangan pelaksanaan program kampung yang lengkap kepada KPLB dan peruntukan akan diluluskan berdasarkan penilaian kertas kerja yang diajukan.

    Memandangkan jumlah keseluruhan peruntukan kepada MPKK mencecah RM30,000.00, Kerajaan Negeri beranggapan jumlah tersebut adalah memadai bagi MPKK untuk melaksanakan program di kampung masing-masing. Oleh itu buat masa ini Kerajaan Negeri tiada cadangan untuk menambahkan jumlah peruntukan kepada Majlis Pembangunan Komuniti Kampung MPKK.

Lampiran

Tiada Lampiran.