Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

229) PERUNTUKAN MARRIS

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan peruntukan MARRIS hanya memperbaiki infrastruktur yang sedia ada dan tidak dibenarkan untuk naiktaraf. Adakah Kerajaan Selangor dapat menambah/menukar syarat peruntukan MARRIS dapat digunakan untuk naiktaraf?

    Sebagai makluman, Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri atau sering dirujuk sebagai peruntukan Malaysian Road Record Information System (MARRIS) disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Perkara 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Perbelanjaan peruntukan ini adalah bagi maksud aktiviti penyenggaraan jalan sahaja seperti skop kerja yang dibenarkan di bawah Perenggan 11, Garis Panduan Pengurusan Penyenggaraan Jalan Negeri yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Perlembagaan Persekutuan.

    Perenggan 3 (b), Bahagian II, Jadual Kesepuluh, Perlembagaan Persekutuan

    menjelaskan maksud penyenggaraan jalan negeri seperti berikut:-

    “Penyenggaraan jalan-jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung yang menjadi sebahagian daripada jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya”.

    Berdasarkan kepada fakta dan keterangan ini, Kerajaan Negeri tidak memiliki kuasa untuk menambah atau menukar syarat kegunaan peruntukan MARRIS bagi tujuan naik taraf kerana ia akan melibatkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Oleh yang demikian, apa-apa kerja yang melibatkan skop menaik taraf Jalan Negeri akan diurus pembiayaannya menggunakan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan.

Lampiran

Tiada Lampiran.