PERUNTUKAN MARRIS
47) PERUNTUKAN MARRIS
Tahun:
Sesi:
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sejauh manakah keberkesanan peruntukan dari MARRIS yang berjumlah 1juta yang telah digunakan untuk projek kecil(penyelenggaraan dan baik pulih) yang di berikan kepada tiap DUN
Keberkesanan pelaksanaan peruntukan MARRIS boleh dinilai dari beberapa aspek seperti berikut:-
- Prestasi pelaksanaan projek
Pada tahun 2011, sebanyak RM65,939,561.82 telah disalurkan untuk pelaksanaan projek MARRIS yang melibatkan sebanyak 1065 projek. Daripada keseluruhan tajuk projek tersebut sebanyak 926 (87%) projek telah siap dilaksanakan. Manakala bakinya sebanyak 139 (13%) projek adalah projek yang baru diluluskan melalui peruntukan tambahan sebanyak RM1 Juta bagi setiap PBT.
- Kaedah mengenal pasti projek
Pada tahun 2011, Kerajaan Negeri telah memberi kuasa kepada Ahli Dewan Negeri untuk mengenal pasti dan mengemukakan projek–projek penyelenggaraan jalan yang hendak dilaksanakan di kawasan masingmasing. Perbincangan mengenai projek tersebut dibuat bersama-sama di antara Ahli Dewan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk disenaraikan dan dilaksanakan. Kaedah ini adalah berbeza dengan kaedah yang dibuat pada tahun-tahun sebelum ini dimana peruntukan bagi penyelenggaraan jalan sebelum ini diberikan secara terus dan secara “lump-sum” kepada Pihak Berkuasa Tempatan tanpa perlu menyenaraikan projek-projek yang hendak dilaksanakan dan tidak melibatkan Ahli Dewan Negeri. Dengan kaedah baru ini, kita boleh menyatakan bahawa peruntukan bagi projek MARRIS tersebut dikawal selia bersama oleh Ahli Dewan Negeri dengan Pihak Berkuasa Tempatan. Kaedah baru ini juga dapat memberi hak sama rata kepada setiap kawasan Dewan Negeri di mana setiap kawasan dapat menyenaraikan projek berdasarkan keperluan kawasan. Kaedah ini adalah berkesan untuk mengelakkan berlakunya penyelewengan dan salah guna peruntukan selain memastikan hanya projek yang mempunyai impak dan praktikal sahaja yang patut diteruskan.
- Prosedur
Dari aspek prosedur, permohonan bagi pelaksanaan projek MARRIS perlulah dibincangkan bersama-sama dengan Ahli Dewan Negeri dan disenaraikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan berdasarkan kepada keperluan kawasan. Permohonan yang telah diperaku bersama dengan Ahli Dewan Negeri perlu dikemukakan kepada Perbendaharaan Negeri Selangor bersama-sama dengan “Bill of Quantity (BQ)”. “Bill of Quantity (BQ)” yang diterima daripada Pihak Berkuasa Tempatan akan disemak oleh Pegawai Teknikal yang berpengalaman dan semakan harga dibuat berdasarkan kepada Jadual Kadar Harga Jabatan Kerja Raya (JKR). Ia juga disemak selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang menetapkan kadar peratus keuntungan diturunkan kepada 12% sahaja. Peruntukan yang diluluskan akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk proses pelantikan kontraktor.
Prosedur ini membantu pegawai untuk memastikan peruntukan yang disalurkan digunakan dengan sebaik mungkin dan kadar harga dapat diselaraskan mengikut jadual kadar harga.
- Pelantikan Kontraktor
Di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan, prosedur perolehan dibuat secara terbuka di mana bagi projek yang bernilai di bawah RM20,000.00 dilaksanakan secara undian manakala projek bernilai melebihi RM20,000.00 sehingga RM500,000.00 dilaksanakan secara sebut harga. Projek-projek yang bernilai melebihi RM500,000.00 dilaksanakan secara tender terbuka. Kaedah ini adalah selaras dengan arahan-arahan dan peraturan kewangan yang sedang berkuat kuasa di mana ianya menepati dasar perolehan Kerajaan Negeri iaitu mendapatkan nilai yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money).
- Audit MARRIS
Y.A.B Dato’ Menteri Besar Selangor juga telah menubuhkan satu pasukan audit bagi pelaksanaan kerja-kerja MARRIS yang dianggotai oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN). Pasukan audit ini ditubuhkan untuk menjalankan pengauditan kerja secara berterusan di PBT untuk memastikan projek yang dilaksanakan adalah menepati dasar perolehan Kerajaan Negeri iaitu nilai yang terbaik bagi setiap ringgit yang dibelanjakan (value for money). Analisa yang telah dibuat mendapati bahawa Kerajaan Negeri memperoleh penjimatan di antara 10% sehingga 15% apabila projek dilaksanakan secara sebut harga atau tender terbuka di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.Dengan usaha ini, kita boleh menyatakan kepada rakyat bahawa setiap projek yang dilaksanakan oleh kontraktor terbabit di Pihak Berkuasa Tempatan menggunakan wang rakyat yang nilainya setimpal dengan kerja yang dilakukan. Kerajaan Negeri juga akan dapat melihat kecekapan pengurusan projek dan keuntungan yang diperoleh kontraktor terbabit agar ia sentiasa munasabah dan memberi pulangan yang menguntungkan. Hasil penemuan Audit tersebut boleh digunakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai penambahbaikan projek-projek MARRIS pada tahun 2012.
Pada tahun 2012, Kerajaan Negeri masih mengekalkan pelaksanaan projek mengikut kaedah yang sama seperti tahun 2011. Bagi menghargai pencapaian cemerlang Ahli Dewan Negeri, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk memberikan peruntukan tambahan kepada Ahli Dewan Negeri yang mencapai prestasi terbaik bagi melaksanakan projek MARRIS di kawasan Dewan Negeri masing-masing.
