Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

52) Peruntukan Marris Kepada PBT

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah pindaan kepada Garis Panduan Penggunaan Peruntukan MARRIS boleh dilakukan bagi memperluaskan penggunaan peruntukan untuk infrastruktur lain demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan perumahan.

    Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) merupakan pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri mengikut peruntukan Perkara 109 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 3 Jadual Kesepuluh Bahagian II Perlembagaan Persekutuan menerangkan penyenggaraan Jalan Negeri ertinya pemeliharaan, penjagaan dan pemulihan jalan-jalan Negeri, perabot tepi jalan, jambatan, jejambat atau pembetung (longkang) yang menjadi sebahagian jalan itu atau yang bersambung dengannya dengan seberapa hampir yang mungkin dengan keadaan asalnya sebagaimana yang dibina atau sebagaimana yang dibaiki kemudiannya.

    Bagi memastikan jalan-jalan negeri, jalan-jalan kampung dan jalan pertanian dapat diselenggara dan dinaiktaraf mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan dan dapat memberi keselesaan kepada rakyat yang menggunakan jalan-jalan tersebut, pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan jalan di bawah peruntukan MARRIS oleh jabatan/agensi pelaksana adalah berdasarkan kepada garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) iaitu Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri.

    Oleh yang demikian, sebarang usul perluasan penggunaan peruntukan MARRIS atau usul pindaan terhadap Garis Panduan MARRIS perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pemberian Penyenggaraan Jalan Negeri di peringkat Kementerian Kewangan (MOF) terlebih dahulu untuk dibincangkan dan diperhalusi. Sekiranya usul tersebut dipersetujui dan ia mematuhi peruntukan perundangan sedia ada, usul tersebut perlu dibentangkan dalam Majlis Kewangan Negara (MKeWN) untuk kelulusan sebelum ia dapat dilaksanakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.