Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

114) PERUNTUKAN MARRIS SECARA “OUTRIGHT GRANT”

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyalurkan sebahagian kecil Peruntukan MARRIS kepada agensi pelaksana secara “outright grant” supaya kerja-kerja MARRIS boleh dilaksanakan dengan lebih cepat. Jika tidak, nyatakan sebabnya?

    Pada masa ini, Kerajaan Negeri menggunapakai kaedah Direct Grant untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan secara jurnal peruntukan kepada Pejabat Daerah dan Tanah (PDT), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). Kerajaan Negeri tidak menggunapakai kaedah “outrightgrant” untuk menyalurkan sebahagian kecil peruntukan MARRIS kepada agensi pelaksana di atas beberapa faktor :-

     

    Perbelanjaan MARRIS adalah tertakluk kepada Garis Panduan Tatacara Pengurusan Pemberian Penyelenggaraan Negeri oleh Kementerian Kewangan (Mof) dan Arahan Amanah(Trust Deeds) Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri di bawah Seksyen 10, Akta Tatacara Kewangan 1957. Justeru, kaedah “outrightgrant” tidak digunakan sebagai kaedah penyaluran peruntukan untuk mengelak agensi pelaksana melaksanakan kerja-kerja di luar skop yang dibenarkan apabila peruntukan dimasukkan ke akaun agensi masing-masing;

     

    Kerajaan Negeri berpandangan perlu ada aspek kawalan bagi memastikan peruntukan MARRIS dibelanjakan dengan optimum mengikut skop yang dibenarkan dan aspek perolehan kerja dilaksana selaras dengan dasar “value for money”.

     

     

    Sungguhpun begitu, Kerajaan Negeri sentiasa komited bagi memastikan projek- projek MARRIS dilaksanakan dengan segera. Oleh yang demikian, semua agensi pelaksana telah diberi Kuasa Berbelanja oleh Perbendaharaan Negeri Selangor melalui surat secara bertulis. Melalui kaedah ini, agensi pelaksana dibenarkan melaksanakan perolehan kerja yang telah diluluskan melalui proses perolehan terbuka di mana penyaluran peruntukan akan dibuat oleh Perbendaharaan Negeri Selangor berdasarkan nilai perolehan sebenar yang dinyatakan pada Surat Setuju Terima (SST).

Lampiran

Tiada Lampiran.