Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

274) PERUNTUKAN MENGATASI TREND DIABETES DI KALANGAN RAKYAT

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandang natijah diabetes membebankan rakyat daripada segi kualiti hidup dan kos rawatan, apakah yang telah dirancang untuk mendidik rakyat untuk mencegahnya?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedar bahawa kes penyakit diabetes mutakhir ini menunjukkan peningkatan. Walau bagaimanapun, rawatan dan kempen kesedaran pencegahan penyakit Diabetes di Negeri Selangor di jalankan dan di kelolakan sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) & Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

     

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan kempen gaya hidup sihat di peringkat Negeri Selangor iaitu Karnival Sihat Selangor. Program ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri di dalam memberi kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan serta amalan gaya hidup sihat. Kerajaan Negeri merasakan bahawa Karnival Sihat Selangor ini mampu meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kesihatan dan makan secara seimbang di peringkat masyarakat. Objektif utama karnival ini adalah seperti berikut: –

    1. Memberi kesedaran awam mengenai kepentingan amalan gaya hidup sihat dan cergas;
    2. Memupuk amalan bersenam dan beriadah di kalangan masyarakat;
    • Membentuk sikap positif dalam kehidupan seharian;
    1. Membolehkan masyarakat menjalani pemeriksaan kesihatan percuma;
    2. Meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya denggi; dan
    3. Mempromosikan Program Bantuan Sihat Selangor kepada masyarakat setempat.

     

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan program ini telah bermula sejak tahun 2014, walaubagaimanapun, Program Sihat Selangor tersebut hanya terhad kepada dua aktiviti utama sahaja iaitu berjalan 10,000

     

    langkah dan kayuhan jantungku. Pada tahun ini, program ini di tambah baik dengan tambahan pelbagai aktiviti berkaitan seperti berikut: –

    1. Aktiviti berjalan 10,000 langkah;
    2. Aktiviti kayuhan jantungku;
    • Aktiviti senamrobik;
    • Promosi pemakanan sihat;
    • Promosi kesihatan oleh JKNS;
    • Pemeriksaan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Daerah;
    • Pemeriksaan kesihatan percuma oleh PERKESO;
    • Pemeriksaan MAMOGRAM oleh MAKNA;
    • Program derma darah;
    • Program kesedaran denggi;
    • Promosi Program Bantuan Sihat Selangor; dan
    • Jualan produk kesihatan

     

    Karnival Sihat Selangor ini telah dan sedang di adakan di semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor bermula April 2015 sehingga Disember 2015.

Lampiran

Tiada Lampiran.