Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

201) PERUNTUKAN UNTUK ADUN PEMBANGKANG

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan kegunaan peruntukan ADUN pembangkang sepanjang tahun 2018 dan 2019.

    Untuk makluman, Peruntukan bagi setiap Ahli Dewan Negeri Bukan Kerajaan (ADUN pembangkang) bagi tahun 2018 dan 2019 adalah berjumlah RM150,000.00 setahun.

     

    Fungsi dan kegunaan peruntukan ADUN pembangkang adalah sama dengan peruntukan ADUN Kerajaan seperti mana yang ditetapkan oleh Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 2 Tahun 2017 dan Pekeliling Perbendaharaan Bilangan 1 Tahun 2019 – Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) Dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor. Antara kegunaan peruntukan ini adalah seperti berikut:

     

    (i) Pengurusan Pejabat ADN

     

    Perbelanjaan tidak melebihi RM72,000.00 setahun bagi penyewaan ruang pejabat, penyewaan mesin fotostat, penyelenggaraan pejabat, pembayaran bil utiliti, pembelian komputer, pencetak, alat tulis, perbelanjaan mesyuarat serta lain-lain peralatan dan keperluan dalam pengurusan pejabat. Peruntukan RM72,000.00 ini, jika tidak digunakan untuk pengurusan pejabat, maka ia boleh digunakan bagi lain-lain perbelanjaan yang terkandung di dalam pekeliling ini;

    (ii) Projek-projek Kecil

     

    Peruntukan projek-projek kecil adalah sebanyak 30 peratus (30%) daripada peruntukan yang telah diberikan kepada setiap DUN. Kos bagi setiap Projek Kecil Pembangunan hendaklah tidak melebihi RM50,000.00. Projek-projek kecil perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya 30% daripada peruntukan yang diberi bagi tujuan merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kualiti infrastruktur awam;

    (iii) Sumbangan Kemasyarakatan Secara Tunai

    Pemberian derma dan sumbangan  sagu hati kepada warga emas, anak yatim, ibu tunggal, orang kurang upaya yang tidak bermotifkan keuntungan dan sebagainya; dan

     

    (iv) Program dan Aktiviti Mesra Rakyat

     

    Program Mesra Rakyat seperti program turun padang, sesi dialog bersama rakyat, ziarah, dan program-program kemasyarakatan termasuk perolehan pembelian barang-barang serta perkhidmatan boleh dilaksanakan tetapi tidak melebihi RM20,000.00 bagi setiap program.

    Walau bagaimanapun, peruntukan yang diterima oleh pihak ADUN pembangkang adalah kurang sedikit berbanding dengan ADUN Kerajaan. Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk membuat kawalan perbelanjaan mengikut had seperti yang dimaklumkan di atas mengikut peruntukan yang diterima.

    Untuk makluman, jumlah maksima bagi sumbangan tunai dan program Aktiviti Mesra Rakyat adalah sehingga 70 peratus (70%) daripada jumlah peruntukan tahunan yang disediakan. Setiap penerima sumbangan pula adalah tidak boleh melebihi RM10,000.00 setahun dan ianya bukanlah sumbangan bulanan.

    Kerajaan Negeri juga tidak menyediakan peruntukan khas kepada ketua pembangkang. Peruntukan kepada ketua pembangkang adalah sama seperti ADUN Pembangkang yang lain iaitu sebanyak RM150,000.00 setahun dan fungsi serta kegunaannya juga adalah sama.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.