Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

213) PERUSAHAAN KITAR SEMULA TIDAK BERLESEN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Azmizam Bin Zaman Huri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri dapat memperincikan bilangan kompaun, notis, sitaan dan perobohan yang telah dikenakan terhadap perusahaan kitar semula tanpa lesen di Daerah Klang?

    Penguatkuasaan terhadap aktiviti perusahaan kitar semula bagi Daerah Klang telah dijalankan secara bersepadu di antara Pejabat Daerah & Tanah Klang (PDTK) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) selain dibantu agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan yang lain.

    Sepanjang tahun 2018 hingga Mac 2020, Pejabat Daerah dan Tanah Klang telah mengeluarkan sebanyak 13 Notis 7A & 7B di bawah Seksyen 127 & 128 Kanun Tanah Negara 1965, bagi kesalahan Pelanggaran Syarat Kegunaan Tanah yang dijadikan tapak aktiviti kitar semula dan pelupusan sampah haram. Selain itu sebanyak 6 notis bagi kesalahan pencerobohan tanah kerajaan di bawh Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965 turut dikeluarkan atas kesalahan menjalankan aktiviti berkaitan kitar semula dan tapak pelupusan sampah haram. Kesemua lokasi ini telah dirobohkan dan ditutup.

    Sepanjang tahun 2018 – Mac 2020 Majlis Perbandaran Klang (MPK), telah menjalankan sebanyak 160 Operasi pemantaun bagi seluruh Daerah Klang. Hasil operasi mendapati sebanyak 119 buah premis kitar semula adalah tidak berlesen dan menjalankan aktiviti secara tidak sah. Susulan itu, sebanyak 242 Notis Undang-Undang Kecil (UUK 3 PTPP 2007 telah dikeluarkan dan sebanyak 88 Kompaun telah dikeluarkan di bawah peruntukan perundangan yang sama. Selain itu sebanyak 37 premis kitar semula telah diarahkan tutup.

    Pihak Kerajaan Negeri amat memandang serius aktiviti kitar semula dan tapak pelupusan sampah yang dijalankan secara tidak sah ini. Tindakan keras seperti rampasan tanah, penjara dan denda akan diambil ke atas mereka yang didapati bersalah menjalankan aktiviti ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.