Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

26) PEWARTAAN TANAH KAMPUNG ORANG ASLI DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif dalam melakukan pewartaan tanah bagi Kampung Orang Asli di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri dimaklumkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor bahawa terdapat 74 Kawasan Orang Asli di Negeri Selangor. Kerajaan Negeri telah mewartakan sebanyak 26 Kawasan Orang Asli di Negeri Selangor manakala baki sebanyak 48 Kawasan Orang Asli sedang dalam tindakan JAKOA, Pejabat Daerah dan Tanah dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor.

    Pihak Berkuasa Negeri akan meluluskan perizaban mana-mana Tanah Kerajaan untuk maksud penempatan/ kawasan Orang Asli melalui permohonan lengkap yang dikemukakan oleh JAKOA bersama pelan pra-hitungan (pre-com plan) yang disediakan oleh Juruukur Berlesen. Permohonan akan diangkat untuk pertimbangan dan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.  Seterusnya kawasan yang telah diluluskan sebagai Kawasan Orang Asli akan ditanda oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk pengeluaran Pelan Warta (PW). Setelah Pelan Warta diperolehi maka urusan pengisytiharan perizaban Kawasan Orang Asli akan diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor. Oleh itu, ketiadaan pelan pra hitungan yang disediakan oleh Juruukur Berlesen akan menyebabkan proses kelulusan perizaban tidak dapat dilaksanakan kerana penentuan garis sempadan tanah tidak dapat dikenalpasti. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor sentiasa mengadakan mesyuarat berkala bersama pihak JAKOA dan semua Pentadbir Tanah bagi membantu menyelesaikan urusan pewartaan Kawasan Orang Asli. Laporan status permohonan akan dibentangkan dalam Mesyuarat Pengarah Tanah dan Galian Selangor bersama Pentadbir-Pentadbir Tanah Daerah Negeri Selangor sebanyak empat (4) kali setahun.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 35/2018 pada 9 November 2018 telah bersetuju memperuntukan sebanyak RM1.5 juta untuk kerja-kerja pengukuran bagi menyelesaikan isu pewartaan Kawasan Orang Asli di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.