Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

172) PEWARTAAN TANAH REZAB SUNGAI DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah bilangan sungai di Selangor yang direkodkan oleh agensi-agensi yang berkenaan?

    Melalui rekod LUAS sehingga tahun 2017 bilangan cabang sungai di Negeri Selangor adalah sebanyak 631 cabang sungai dengan anggaran panjang 3,420.24 km. Jumlah ini terdiri daripada cabang utama sungai sehingga ke cabang-cabang anak sungai. Secara pentadbiran, pengurusan 631 cabang sungai ini dibuat melalui tujuh (7) lembangan sungai utama iaitu :

    • 184 cabang sungai di Lembangan Sungai Langat sepanjang 1,056.88 km;
    • 156 cabang sungai di Lembangan Sungai Klang sepanjang 485.05 km;
    • 137 cabang sungai di Lembangan Sungai Bernam sepanjang 863.69 km;
    • 89 cabang sungai di Lembangan Sungai Selangor sepanjang 748.61 km;
    • 53 cabang sungai di Lembangan Sungai Buloh sepanjang 161.64 km;
    • 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Tengi sepanjang 78.91 km;
    • 6 cabang sungai di Lembangan Sungai Sepang sepanjang 25.46 km.

    Sumber data bagi bilangan sungai ini adalah merujuk kepada Data Topografi dan Hidrologi JUPEM Selangor 2015, Senarai Daftar Sungai Bernam JPS Selangor dan pengemaskinian dari masa ke semasa melalui kerja-kerja perwartaan sungai di Negeri Selangor sebagai zon perlindungan yang di laksanakan oleh LUAS yang telah dimulakan sejak 2011 sehingga kini. Bilangan sungai ini juga akan berubah sekiranya LUAS mendapati terdapat cabang aliran sungai baru yang dikesan terbentuk melalui kerja-kerja perwartaan ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.