Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

22) PIHAK BERKUASA TEMPATAN

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Mazwan Bin Johar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tidakkah Kerajaan Negeri bercadang mewajibkan Pihak berkuasa Tempatan mengadakan sesi "townhall meeting" terbuka kepada pihak awam secara berkala sebagai satu usaha untuk meningkatkan prestasi dan kepekaan mereka dalam menyelesaikan masalah rakyat?

    Kerajaan Negeri menyambut baik akan cadangan Yang Berhormat Sungai Ramal agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan sesi “townhall meeting” terbuka kepada pihak awam secara berkala.
    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sesi “townhall meeting” telah pun dilaksanakan oleh PBT Negeri Selangor bagi mendengar masalah setempat dan pandangan umum berdasarkan isu dan keperluan semasa. Sebagai contoh, pada tahun 2018 MPAJ dan MBSA telah mengadakan townhall bajet 2019, MPSp mengadakan sesi townhall bersama Komuniti Zon, dan MPS pula mengadakan sesi townhall bersama Ahli Majlis JKP Zon 24.
    Selain itu, PBT juga telah mengambil inisiatif lain dengan mengadakan program Hari Bertemu Pelanggan bagi mendekati penduduk setempat secara terus/bersemuka dan memberi peluang kepada orang ramai dan pihak berkepentingan (stake holder) untuk menyalurkan aduan, komen dan saranan untuk penambah baikan perkhidmatan PBT.
    Bagi menambah baik sistem penyampaian PBT, bagi tahun 2019, Kerajaan Negeri telah memutuskan agar PBT berstatus Bandaraya memperuntukkan sebanyak RM3 juta dan PBT berstatus Perbandaran sebanyak RM1 juta melalui program Community Engagement. Program ini adalah satu usaha untuk meningkatkan penglibatan komuniti setempat di dalam sesuatu projek atau program. Dengan program ini, PBT dapat memastikan peranan dan pandangan komuniti turut di ambil kira dalam sesuatu projek / program.

Lampiran

Tiada Lampiran.