Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

56) PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah cabaran-cabaran dan halangan yang dihadapi oleh kerajaan negeri untuk melaksanakan pilihanraya kerajaan tempatan. Bagaimanakah kerajaan negeri mengatasi masalah tersebut.

    Kerajaan mempunyai cadangan untuk mengadakan pilihan raya peringkat PBT. Oleh yang demikian, satu kajian telah pun selesai dilaksanakan. Berdasarkan hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah pun menghantar surat kepada SPR meminta secara rasmi untuk SPR meneliti dan menjalankan kajian lanjut berlandaskan undang-undang sedia ada bagi memastikan sama ada pilihan raya kerajaan tempatan untuk pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor boleh dilaksanakan atau pun tidak. Berikut adalah beberapa cabaran serta tugas halangan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan tugas ini:-

    1. SPR mempunyai kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan tertakluk ia diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan atau negeri menurut Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.
    2. Akta 473 memberi SPR kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan.. Walau bagaimanapun, SPR tidak dapat menguatkuasakan Akta 473 kerana subseksyen 15(1) Akta 171 yang memperuntukkan bahawa semua peruntukkan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan dalam Akta 473 telah dimansuhkan dan terhenti kuat kuasanya atau terhenti mempunyai kesan;
    3. Berikutan dengan kuat kuasanya subseksyen 15(1) dan pemakaian seksyen 10 Akta 171, adalah jelas bahawa SPR tidak boleh menjalankan pilihan raya bagi memilih Anggota Majlis sesuatu Pihak Berkuasa Tempatan kerana keanggotaan mereka hendaklah dibuat secara lantikan (by appointment);
    4. Walaupun pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa Negeri, namun berdasarkan Perkara 95 A Perlembagaan Persekutuan, perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local Government);
    5. Jika Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local Government) memutuskan bahawa Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa tempatan hendaklah dibuat melalui suatu pilihan raya, maka cadangan ini boleh dilaksanakan dengan cara berikut:
    6. 5.1 Seksyen 10 dan 15 Akta 171 perlu dipinda dan dikaji semula apaapa peruntukan sedia ada yang lain berkaitan dengan pelantikan Anggota Majlis;
    7. 5.2 Semua cadangan pindaan kepada Akta 171 hendaklah diterima pakai oleh semua Negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian undang-undang itu; dan
    8. 5.3 Peraturan-peraturan bagi menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diadakan.
    9. Sehinggalah segala tindakan diambil berdasarkan cadangan yang dinyatakan di sebelum ini, SPR tidak boleh menguatkuasakan Akta 473 untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor.
    10. Seterusnya, pihak SPR tidak boleh menjalankan kajian dan penyelidikan untuk Kerajaan Negeri Selangor kerana bertentangan dengan fungsi dan kuasa SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan raya 1958. Walau bagaimanapun berdasarkan kepada peruntukan sedia ada sehingga ini, keputusan pihak Kerajaan Negeri untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan di bawah Akta 473 tidak boleh dilaksanakan kerana semua peruntukan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah dimansuhkan dan terhenti berkuat kuasa atau terhenti mempunyai kesan atas pemakaian seksyen 15 Akta 171. Pihak Kerajaan Negeri juga adalah tertakluk kepada seksyen 10 Akta 171 yang menyatakan bahawa pelantikan Anggota Majlis Berkuasa Tempatan hendaklah dibuat secara lantikan (by appointment).
    11. Jika ia dapat dilaksanakan maka rakyat boleh diberi peluang untuk mengundi calon yang sesuai sebagai Ahli Majlis. Walau bagaimanapun akibat kekangan perundangan ia perlu dikaji semula terutamanya dari aspek kesediaan masyarakat dan keperluan politik semasa agar impak yang positif dapat dinikmati oleh semua pihak.

Lampiran

Tiada Lampiran.