Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

01 Ogos 2016 - 02 Ogos 2016

104) PILIHANRAYA KERAJAAN TEMPATAN

Tahun: 2016

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bilakah Kerajaan akan melaksanakan pilihanraaya kerajaan tempatan sepertimana yang di janjikan didalam manifesto pilihanraya yang lepas?

    Pilihan raya Kerajaan Tempatan masih tidak dapat dilaksanakan kerana halangan dari sudut perundangan di mana Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor masih tertakluk di Bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang secara jelasnya dinyatakan bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan adalah tidak dibenarkan. Kekangan undang-undang ini tercatat di bawah seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

    Berdasarkan hal ini, Kerajaan Negeri perlu mengambil kira keputusan Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan bahawa enakmen pilihan raya kerajaan tempatan yang diluluskan oleh Kerajaan Pulau Pinang pada 2012 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak dibenarkan untuk mengadakan Pilihanraya Kerajaan Tempatan.

    Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan ke 12/2010 yang diadakan pada 31 Mac 2010 yang telah disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan Ke 13/2010 pada 7 April 2010 telah dibincangkan dan mantan Dato’ Menteri Besar telah memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah menerima surat dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan SPR dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa mengadakan pilihan raya peringkat PBT bagi memilih Ahli Majlis.

    Berdasarkan surat dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut dan keputusan Mahkamah Persekutuan berkaitan dalam kes Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat meneruskan hasrat ini seperti yang dijelaskan.

Lampiran

Tiada Lampiran.