Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

89) PILIHANRAYA PBT

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan negeri bercadang untuk mengadakan pilihanraya peringkat PBT ini sendiri?

    Kerajaan mempunyai cadangan untuk mengadakan pilihanraya peringkat PBT.
    Oleh yang demikian satu kajian telah pun selesai dilaksanakan. Berdasarkan
    hasil kajian tersebut Kerajaan Negeri telah pun menghantar surat kepada SPR
    meminta secara rasmi untuk SPR meneliti dan menjalankan kajian lanjut
    berlandaskan undang-undang sedia ada bagi memastikan sama ada pilihan raya
    kerajaan tempatan untuk pemilihan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
    di Selangor boleh dilaksanakan atau pun tidak. Berdasarkan maklum balas yang
    diterima daripada pihak SPR adalah seperti berikut :
    1. SPR mempunyai kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan
    tertakluk ia diberi kuasa oleh undang-undang persekutuan atau negeri
    menurut Fasal (4) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan;
    2. Akta 473 memberi SPR kuasa untuk menjalankan pilihan raya kerajaan
    tempatan. Walau bagaimanapun, SPR tidak dapat menguatkuasakan Akta
    473 kerana subseksyen 15(1) Akta 171 yang memperuntukkan bahawa
    semua peruntukkan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan
    dalam Akta 473 telah dimansuhkan dan terhenti kuat kuasanya atau terhenti
    mempunyai kesan;
    3. Berikutan dengan kuat kuasanya subseksyen 15(1) dan pemakaian seksyen
    10 Akta 171, adalah jelas bahawa SPR tidak boleh menjalankan pilihan raya
    bagi memilih Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa tempatan kerana
    keanggotaan mereka hendaklah dibuat secara lantikan (by appointment);
    4. Walaupun pilihan raya kerajaan tempatan berada di bawah bidang kuasa
    Negeri, namun berdasarkan Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan,
    perubahan dasar berhubung dengan apa-apa cadangan untuk mengadakan
    semula pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah diputuskan terlebih dahulu
    oleh Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local
    Government);
    5. Jika Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (National Council for Local
    Government) memutuskan bahawa Anggota Majlis sesuatu pihak berkuasa
    tempatan hendaklah dibuat melalui suatu pilihan raya, maka cadangan ini
    boleh dilaksanakan dengan cara berikut:
    5.1 Seksyen 10 dan 15 Akta 171 perlu dipinda dan dikaji semula apa-apa
    peruntukkan sedia ada yang lain berkaitan dengan pelantikan Anggota
    Majlis;
    5.2 Semua cadangan pindaan kepada Akta 171 hendaklah diterima pakai
    oleh semua Negeri supaya wujud keseragaman dalam pemakaian
    undang-undang itu; dan
    5.3 Peraturan-peraturan bagi menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan
    hendaklah diadakan.
    6. Sehinggalah segala tindakan diambil berdasarkan cadangan yang dinyatakan
    di sebelum ini, SPR tidak boleh menguatkuasakan Akta 473 untuk
    menjalankan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor.
    7. Seterusnya, pihak SPR tidak boleh menjalankan kajian dan penyelidikan
    untuk Kerajaan Negeri Selangor kerana bertentangan dengan fungsi dan
    kuasa SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya
    1958. Walau bagaimanapun berdasarkan kepada peruntukkan sedia ada
    sehingga ini, keputusan pihak Kerajaan Negeri untuk menjalankan pilihan
    raya kerajaan tempatan di bawah Akta 473 tidak boleh dilaksanakan kerana
    semua peruntukkan berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan telah
    dimansuhkan dan terhenti berkuat kuasa atau terhenti mempunyai kesan
    atas pemakaian seksyen 15 Akta 171. Pihak Kerajaan Negeri juga adalah
    tertakluk kepada seksyen 10 Akta 171 yang menyatakan bahawa pelantikan
    Anggota Majlis Berkuasa Tempatan hendaklah dibuat secara lantikan (by
    appointment).

Lampiran

Tiada Lampiran.