Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

50) PINJAMAN KERAJAAN NEGERI KEPADA KUMPULAN DARUL EHSAN BERHAD (KDEB)

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Yeo Bee Yin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status pembayaran pinjaman Kerajaan Negeri sebanyak RM413.2 juta kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) untuk mengambil alih Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB)?

    Pinjaman Kerajaan Negeri sebanyak RM413.20 juta kepada KDEB akan matang pada 28 November 2014.

    Pada 13 November 2014, KDEB telah membentangkan cadangan penangguhan dan penyelesaian pinjaman Kerajaan Negeri sebanyak RM413.20 juta kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (“MTES”) yang mana cadangan adalah seperti berikut:-

     

    • Pembayaran balik pinjaman sebanyak RM5.0 juta oleh KDEB pada 28 November 2014; dan

     

    • Pembayaran balik baki pinjaman sebanyak RM408.2 juta berserta faedah akan ditangguhkan selama satu tahun sehingga 28 November 2015 bagi membolehkan KDEB meneruskan pelan pengambilalihan 100% kepentingan ekuiti di dalam KHSB.

    Berikutan daripada perbentangan tersebut, MTES secara dasarnya telah bersetuju dengan cadangan penangguhan dan penyelesaian pinjaman sebanyak RM413.20 juta seperti di atas.

    Pembayaran balik baki pinjaman akan diselesaikan melalui opsyen-opsyen berikut (berdasarkan yang mana lebih awal):-

    (i) Opsyen 1:-

    Penyelesaian baki pinjaman sebanyak RM408.2 juta berserta faedah melalui terbitan Redeemble Non-Convertible Unsecured Loan Stock (“RULS”) pada Oktober 2015 selepas selesai pengambilalihan 100% saham di dalam KHSB.

    ATAU

    • Opsyen 2:-

    Penyelesaian baki pinjaman RM408.2 juta berserta faedah melalui hasil penjualan 100% saham KHSB kepada syarikat berkaitan kerajaan negeri dalam sektor hartanah.

    Bagi mengurangkan risiko KNS berkenaan pembayaran balik pinjaman, KDEB telah mencadangkan kepada MTES untuk mencagarkan baki saham-saham KHSB yang bebas dari cagaran sebanyak 371,502,285 unit saham iaitu bersamaan 82.56% ekuiti saham di dalam KHSB sebagai sekuriti kepada pinjaman dari KNS. Berikutan itu, KNS akan mempunyai cagaran bernilai RM297.2 juta berdasarkan nilai asset sesaham KHSB sebanyak RM0.80 sesaham pada 31 Disember 2013 bersamaan lebih kurang 72% daripada nilai baki pinjaman.

Lampiran

Tiada Lampiran.