Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

229) POLISI PERUMAHAN UMUM

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan berhasrat menuju ke arah meluaskan polisi perumahan umum memandangkan kebanyakan rakyat yang menduduki di pangsapuri kos rendah sebenarnya tidak mampu membayar fi penyelenggaraan?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sedar bahawa terdapatnya masalah ketidakmampuan penduduk di pangsapuri kos rendah untuk membayar fi penyelenggaraan seterusnya menyebabkan keuzuran kepada bangunan dan persekitaran pangsapuri tersebut. Ini dapat dilihat setiap tahun Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 67,445,267.08 juta bagi tempoh 2012 hingga 2019 bagi kerja – kerja penyelenggaraan di bawah skim CERIA seperti baikpulih bumbung, mengecat bangunan, baikpulih lif dan lain- lain.

    Oleh itu, Kerajaan Negeri sedang merangka polisi yang mana pemaju dikecualikan daripada membina Rumah Selangorku Jenis A (kos rendah) dengan syarat pemaju perlu memperuntukkan sebanyak 15 hingga 30 peratus daripada kehilangan/ pindaan/ pengecualian pembinaan Rumah Selangorku Jenis A kepada LPHS secara percuma sebagai balasan/ kontra ke atas pengecualian penyediaan Rumah Selangorku yang sepatutnya di bina.

    Unit- unit kontra ini akan digunakan oleh LPHS bagi melaksanakan program-program Kerajaan Negeri / LPHS seperti Skim Smart Sewa dan ‘Rent To Own’ yang dapat membantu rakyat khususnya untuk golongan B40 memiliki rumah. Pelaksanaan program-program ini secara tidak langsung akan membantu Kerajaan Negeri dalam memberi peluang kepada golongan yang sukar mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan untuk memiliki rumah sendiri.

    Secara amnya peserta di bawah program ini akan melalui 2 Fasa iaitu tempoh Penyewaan di bawah Skim Smart Sewa (minimum 2 tahun sehingga maksimum 5 tahun) dan tempoh Pemilikan di bawah ‘Rent to Own’.

    Selepas tamatnya tempoh penyewaan 5 tahun, penyewa akan diberikan pilihan sama ada untuk membeli / memiliki rumah tersebut atau sebaliknya. Sekiranya penyewa memilih untuk tidak membeli, penyewa tersebut perlu berpindah keluar dengan mendapat balik 30 peratus (daripada bayaran bulanan setelah ditolak kos penyelengaraan) yang terkumpul sepanjang tempoh sewaan di bawah Skim Smart Sewa tersebut.

    Bagi penyewa yang memilih untuk membeli, penyewa akan menggunakan 30 peratus tersebut dijadikan sebagai bayaran deposit pembelian rumah tersebut di bawah Skim Sewa Milik (Rent to Own), bakinya dijelaskan secara bayaran ansuran bulanan selama tempoh yang akan ditetapkan kelak. Jangkaan harga jualan rumah tersebut adalah pada harga tidak melebihi RM200,000 (tertakluk kepada penentuan akhir kelak).

Lampiran

Tiada Lampiran.