Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

132) PORTFOLIO PELABURAN, PERINDUSTRIAN DAN PERDAGANGAN

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan tiga pencapaian terbesar portfolio tersebut dari 2013-2017.

    Secara dasarnya portfolio Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan sentiasa bergerak aktif bagi menarik pelaburan dan meningkatkan pertumbuhan sektor perindustrian di Negeri Selangor menerusi Invest Selangor selaku agensi penggalakkan pelaburan.

    Dalam merangka halatuju pembangunan pelaburan dan pembangunan perindustrian di Negeri Selangor, Jawatankuasa Kuasa Tetap melalui Invest Selangor telah menerbitkan Selangor Industrial Master Plan yang dijadikan sebagai rujukan dan panduan bagi membangunkan sektor perindustrian di Negeri Selangor.

    Menerusi berbagai program promosi dan aktiviti penggalakkan pelaburan yang dilaksanakan membolehkan Kerajaan Negeri mengekalkan kadar pencapaian nilai pelaburan sebanyak lebih kurang RM6 Bilion setahun yang disasarkan setiap tahun dalam sektor perindustrian.

     

     

    Tahun

    Sasaran Nilai Pelaburan Tahunan (RM Bilion) Jumlah Nilai Pelaburan Yang Diluluskan oleh MIDA Di Negeri Selangor (RM Bilion)
    2012 10.0 11.735
    2013 5.0-6.0 9.833
    2014 6.0-8.0 7.042
    2015 6.0-8.0 7.963
    2016 6.0 7.881
    2017 6.5 5.592

     

    Pencapaian terbesar bagi tempoh 2013 hingga 2017 adalah seperti berikut;-

     

    • Pelaburan oleh UMW Toyota bagi membangunkan kilang pengeluaran kereta di Shah Alam dengan nilai pelaburan berjumlah RM2.00 bilion;
    • Pelaburan oleh UMW Aerospace bagi membangunkan kilang pengeluaran Fan Casing untuk enjin pesawat di Serendah dengan nilai pelaburan berjumlah RM830 juta;
    • Keputusan membangunkan pusat pergudangan dan pengedaran ke-3 terbesar di dunia oleh IKEA dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.00 bilion;

     

    Selain membantu merealisasikan projek-projek baru dan cadangan penambahan pelaburan, Jawatankuasa Tetap juga melalui Invest Selangor turut membantu para pelabur dalam menyelesaikan isu-isu pembangunan yang dihadapi melalui mesyuarat Penyelarasan Perlaksanaan Projek Pembangunan di Negeri Selangor yang diadakan setiap bulan dan dipengerusikan oleh YB EXCO.

     

    Bagi meningkatkan pertumbuhan industri bio-teknologi di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah meluluskan cadangan pembangunan Bio Bay yang berkeluasan 1,012 ekar di Pulau Indah, Klang yang mana kawasan pembangunan ini dibangunkan khusus untuk menempatkan industry-industri yang terlibat dalam industri berasaskan bio-teknologi di Negeri Selangor.

     

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan juga telah berjaya mewujudkan Majlis Teknologi Informasi Dan E-Perdagangan Selangor atau ‘Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC). SITEC memainkan peranan sebagai perunding dan penasihat program Kerajaan Negeri melaksanakan program pendidikan dan latihan kepada usahawan dan khususnya usahawan muda dan Industri Kecil dan Serdehana (IKS) di dalam membangunkan perniagaan secara atas talian di Selangor. Bagi tempoh 2015 hingga 2017 sebanyak 58 program kelas bimbingan telah diadakan yang memberikan faedah kepada 80,000 individu yang terlibat secara lansung atau tidak lansung dalam perniagaan secara atas talian di Negeri Selangor.

     

    Dalam usaha untuk mempromosikan dan mengukuhkan Negeri Selangor sebagai hub perdagangan, Kerajaan Negeri akan terus mengadakan program Selangor International Business Summit (SIBS). Program ini diadakan dengan tujuan untuk mempromosikan Negeri Selangor sebagai Hub perdagangan global dirantau ASEAN dan juga memberi peluang kepada syarikat-syarikat tempatan dan asing untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan serta memberi peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama perniagaan untuk kepentingan bersama.

     

    Program ini dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan untuk meneroka pasaran luar negara serta mewujudkan komuniti perdagangan antara Selangor dan Negara-Negara luar serta menjadikan Selangor sebagai destinasi pelaburan serta hub perdagangan bagi ASEAN.

     

    Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan telah berjaya menganjurkan Selangor International Business Summit 2017 (SIBS) pada 7 hingga 17 September 2017 yang lalu. Sidang kemuncak yang berlangsung selama 10 hari ini telah dibahagikan kepada tiga segmen utama dan berjaya menarik minat lebih 22,071 orang pengunjung dan 3,500 peserta seminar yang terdiri dari dalam dan luar negara. 691 penyertaan ruang pameran telah diisi oleh syarikat dan organisasi dari Malaysia, ASEAN, China, Jepun, Rantau Timur Tengah, Benua Afrika, Eropah dan Amerika Utara.

     

    Persidangan pula mencatat kejayaan untuk mengangkat Selangor sebagai launching pad bagi memajukan keusahawanan ASEAN, manakala, Expo Antarabangsa telah berjaya menjana potensi nilai transaksi sebanyak RM204.2 juta.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.