Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

134) PREMIUM TANAH

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Terdapat penduduk kampung yang kehilangan tanah kerana tidak mampu untuk membayar premium tanah. Apakah langkah-langkah kerajaan bagi mengatasi kes seperti ini?

    Premium tanah dikenakan sebagai balasan kepada Kerajaan Negeri bagi pelupusan tanah Kerajaan kepada pemohon. Pemohon yang berjaya perlu menjelaskan bayaran premium tanah dan lain-lain bayaran yang telah ditetapkan dalam tempoh 3 bulan dari tarikh Notis 5A. Sekiranya tidak dapat menjelaskan premium dalam tempoh tersebut, pemohon boleh membuat rayuan bagi melanjutkan tempoh pembayaran premium mahupun permohonan lanjutan tempoh pembayaran premium. Tempoh maksimum ialah 18 bulan mengikut kuasa melulus seperti berikut:-

     

    1. i) 6 bulan pertama di bawah kuasa Pentadbir Tanah;
    2. ii) 6 bulan seterusnya di bawah kuasa Pengarah Tanah dan Galian Selangor; dan
    3. iii) 6 bulan terakhir di bawah kuasa Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor.

    Bagi pemohon-pemohon yang masih gagal menjelaskan premium tanah setelah tempoh lanjutan luput, maka tanah tersebut akan kekal statusnya sebagai tanah Kerajaan. Sekiranya pemohon masih berminat terhadap tanah tersebut, pemohon boleh mengemukakan semula permohonan pemberimilikan tanah.

    Merujuk kepada soalan Y.B., tidak wujud isu penduduk kampung yang kehilangan tanah kerana tidak mampu menjelaskan bayaran bayaran premium tanah kerana tanah yang belum dijelaskan premium tanah dalam tempoh yang telah ditetapkan dan masih belum dikeluarkan suratan hakmilik masih berstatus tanah Kerajaan.

Lampiran

Tiada Lampiran.