Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

121) PRESTASI EKONOMI NEGERI

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan prestasi ekonomi Selangor untuk suku tahun pertama 2017 berbanding 2016?

    Y.B. Batang Kali telah bertanya berkaitan prestasi ekonomi Selangor untuk suku tahun pertama 2017 berbanding 2016 manakala Y.B. Telok Datok pula bertanya tentang pertumbuhan ekonomi bagi penggal pertama tahun 2017 di Negeri Selangor. Izinkan saya untuk menjawab bersekali soalan yang telah dibangkitkan oleh Ahliahli Yang Berhormat yang disebutkan sebentar tadi.

    Berdasarkan laporan yang dikemukakan oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER), Negeri Selangor mencapai kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.3% pada suku tahun pertama 2017. Ia merupakan pertumbuhan sebanyak 0.5% jika dibandingkan dengan suku tahun pertama 2016 iaitu sebanyak 4.8%. Semua sektor utama ekonomi juga mencatatkan perkembangan positif dengan sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar KDNK Selangor dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 5.5% dengan nilai sumbangan sebanyak RM37,501 juta iaitu peningkatan nilai sumbangan sebanyak RM1,952 juta berbanding RM35,549 juta pada suku tahun pertama 2016. Sektor pembuatan pula telah mencatatkan peningkatan sebanyak 4.25% dengan nilai sumbangan berjumlah RM18,211 juta iaitu peningkatan nilai sumbangan sebanyak RM742 juta berbanding RM17,469 juta pada suku tahun pertama 2016. Peningkatan dalam sektor pembinaan merupakan yang paling tinggi iaitu sebanyak 8.46% dengan nilai sumbangan berjumlah RM3,988 juta pada suku tahun pertama 2017 berbanding RM3,677 juta pada suku tahun pertama 2016. Sektor perlombongan dan pengkuarian pula menunjukkan peningkatan kedua tertinggi pada suku tahun pertama 2017 jika dibandingkan dengan suku tahun pertama 2016 iaitu sebanyak

    7.48% dengan nilai sumbangan berjumlah RM158 juta berbanding RM147 juta pada 2016.

    Berdasarkan prestasi utama ekonomi di suku tahun pertama 2017 ini, Kerajaan Negeri Selangor optimis pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor akan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada keseluruhan tahun 2017.

Lampiran

Tiada Lampiran.