Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

293) PRESTASI EKONOMI NEGERI 2014

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi dan indikator utama pencapaian ekonomi negeri tahun 2013 dan status sehingga sekarang?

    1. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan prestasi ekonomi Negeri Selangor pada tahun 2013 mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.8% dengan nilai RM186,548 juta. Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor adalah selari dengan pertumbuhan ekonomi Malaysia memandangkan Negeri Selangor menyumbangkan 23.7% KDNK iaitu sumbangan hampir satu perempat KDNK

    Prestasi tersebut diukur berdasarkan prestasi 6 (enam) sektor utama iaitu perkhidmatan, pembuatan, pembinaan, import duti, perlombongan dan kuari serta pertanian. Data daripada Jabatan Perangkaaan Malaysia pada tahun 2013 menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan menyumbang 58.8% ekonomi Negeri Selangor berjumlah RM109,673 juta diikuti sektor pembuatan 30.8% dengan nilai RM57,388 juta, pembinaan 5.4% berjumlah RM10,144, import duti 3.5% sebanyak RM6,295 juta, perlombongan dan kuari 1.5% berjumlah RM174 juta manakala pertanian memberi sumbangan 0.5% dengan jumlah RM2,874 juta.

     

    Sektor-sektor tersebut berkembang dengan peningkatan nilai ditambah dalam setiap sektor utama. Nilai ditambah sektor pembuatan tumbuh 3.4% manakala nilai ditambah sektor perkhidmatan tumbuh 6.7%. Sektor pembinaan tumbuh 15.4%. Walau bagaimanapun nilai ditambah sektor pertanian menguncup 1.6%.

     

    Bagi aspek pelaburan pada tahun 2013, jumlah projek pelaburan di Negeri Selangor ialah sebanyak 228 projek dengan nilai pelaburan berjumlah RM9,833,006,852.00. Jumlah tersebut adalah bilangan terbesar bagi projek yang dilaksanakan diikuti Johor dan Pulau Pinang. Pelaburan Negeri Selangor disumbangkan melalui pelaburan domestik sebanyak 63% (RM6,207,711,908.00) dan pelaburan asing 36.8% (RM3,625,294,944.00). Pada tahun 2013 sahaja, pelaburan domestik dan asing telah menyumbangkan 23,519 jumlah pekerjaan di Negeri Selangor.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.