Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

139) PRESTASI KETUA KAMPUNG

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berharap supaya penglibatan ADUN sebagai penilai akhir berkaitan prestasi Ketua Kampung dapat diambil kira selain daripada Penghulu.

    Peranan, tanggungjawab serta tugas khusus MPKK adalah sebagai pemudah cara dan penghubung antara Kerajaan dengan masyarakat setempat serta di peringkat akar umbi dalam menyalurkan sebarang permasalahan atau aduan kepada pihak yang berkaitan. Jumlah keanggotaan MPKK adalah seramai 13 orang yang terdiri daripada seorang (1) Pengerusi, seorang (1) Setiausaha dan 11 Ahli Jawatankuasa (AJK) yang akan menjadi Pengerusi bagi setiap biro yang telah ditetapkan.

    Prestasi Pengerusi MPKK atau Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri ini akan dinilai dari masa ke semasa berdasarkan kriteria dan kaedah tertentu. Untuk permulaan Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik akan melalui tempoh percubaan selama 6 bulan sebelum perkhidmatan mereka dinilai kembali sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.

    Antara kriteria umum yang diambil kira ketika menilai prestasi Ketua Kampung Tradisi dalam tempoh 6 bulan percubaan adalah seperti berikut:-

     

    1. Tapisan Keselamatan dan Rekod Jenayah iaitu tiada rekod sabitan hukuman sama ada kes jenayah ataupun kes syariah;
    2. Status Kebankrapan;
    3. Mempunyai ahli MPKK yang lengkap;
    4. Mempunyai isu bantahan atau tidak; dan
    5. Mampu menguruskan pentadbiran MPKK dengan baik seperti minit mesyuarat yang lengkap dan laporan kewangan yang teratur.

    Perkara-perkara di atas perlu dilaporkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah berkaitan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Penilaian Perngkat Negeri melalui mesyuarat yang dipengerusikan oleh YB. EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

     

    Sebagai tambahan, Ketua Kampung Tradisi juga akan dinilai secara tahunan dari masa ke semasa berdasarkan Kriteria yang ditetapkan melalui konsep Penarafan Bintang (Star Rating). Konsep ini diperkenal dan akan dilaksanakan di dalam pentadbiran Kampung Tradisi Negeri Selangor bermula tahun 2019.

    Secara umum konsep ini akan menilai empat (4) elemen utama di dalam pentadbiran kampung iaitu Pengurusan Mesyuarat (kekerapan dan kualiti), Pengurusan Kewangan (ketelusan), Inovasi dan Kreativiti (produk dan anugerah) dan Aktiviti Kemasyarakatan (sambutan dan penglibatan). Melalui 4 elemen tersebut adalah diharapkan kelemahan-kelemahan yang mungkin berlaku seperti kelemahan pemantauan pentadbiran, konflik pengurusan, kurang komitmen ketika menjalankan tugas dan amanah dan sebagainya dapat diatasi dengan bijaksana dan berkhemah. Sebagai tambahan, Institusi MPKK ini perlulah sentiasa diperkasakan oleh sebab ia adalah satu institusi yang sentiasa dekat dan bersama akar umbi (penduduk kampung) di mana secara tidak langsung institusi ini menjadi sistem penyampaian Kerajaan yang efektif dan berkesan untuk menghebah serta melaksanakan dasar-dasar semasa Kerajaan.

    Pihak Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi juga telah melaksanakan taklimat kad laporan (Report Card) kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkaitan laporan prestasi semasa Ketua Kampung Tradisi yang telah dilantik pada 15 Ogos 2019 dan mengambil maklum akan pandangan-pandangan yang dilontarkan oleh ADUN semasa sesi taklimat tersebut.

    Oleh yang demikian, bagi memastikan penilaian yang dilaksanakan terhadap prestasi Ketua Kampung Tradisi ini sentiasa telus dan berintegriti, cadangan dan pandangan semua pihak termasuklah ADUN berkenaan akan diambil perhatian oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan objektif penilaian tersebut tercapai.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.