Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

161) Prestasi Kewangan MPKK

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah disyaratkan bahawa setiap minit mesyuarat bersertakan laporan kewangan dan penyata bank akaun MPKK Kampung Tradisi, Kampung Baru, Kampung Tersusun dan Kampung Bagan perlu dibentangkan kepada PTD masing-masing?

    Merujuk kepada Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan Dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi Serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor, setiap MPKK Kampung Tradisi hendaklah menyediakan laporan kewangan bersama minit mesyuarat yang telah disahkan dan menghantar laporan kewangan setiap bulan kepada Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah masing-masing. Setiap MPKK juga diwajibkan memajukan setiap resit pembayaran sebagai bukti perbelanjaan untuk program-program dan aktiviti yang telah dilaksanakan. Manakala, penyata Akaun Bank pula perlu diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah sebagai dokumen sokongan semasa membuat tuntutan ke atas perbelanjaan MPKK. Meskipun Garis Panduan Dasar, Tatacara, Peraturan Mengenai Pelantikan Dan Perkhidmatan Ketua Kampung Tradisi Serta Urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Selangor disediakan khusus untuk Kampung-kampung Tradisi, namun Pejabat-pejabat Daerah dan Tanah mengguna pakai kaedah yang sama untuk semua MPKK termasuklah MPKK Kg Baru/ Bagan/ Tersusun Negeri Selangor sebagai penyeragaman ke atas tatacara kewangan.

Lampiran

Tiada Lampiran.