Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

48) Prestasi Kewangan Negeri Pasca COVID-19

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kedudukan kewangan Negeri Selangor Pasca COVID-19?

    a) Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan oleh YB Sungai Panjang (soalan nombor 48) dan YB Hulu Bernam (soalan nombor 64) yang bertanyakan soalan yang sama berkenaan dengan prestasi dan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri sehingga Oktober 2020.

    Secara spesifiknya, kedudukan Kumpulan Wang Disatukan sehingga 16 Oktober 2020 merekodkan angka sebanyak RM2,664.35 Juta. Jumlah ini terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM828.46 Juta manakala Akaun Amanah Disatukan pula adalah sebanyak RM1,835.89 Juta.

    Kerajaan Negeri sehingga 16 Oktober 2020, walaupun berdepan dengan Pandemik Covid19 dan ketidaktentuan ekonomi telah menunjukkan prestasi kewangan yang kekal stabil, dengan kutipan hasil Negeri telah mencecah sebanyak RM1,949.09 Juta atau 88.60 peratus daripada RM2,200.00 Juta yang disasarkan pada tahun ini. Kerajaan Negeri telah mengambil langkah yang responsif terhadap ketidaktentuan pasaran ekonomi domestik dengan melaksanakan instrumen kawalan perbelanjaan yang berhemah. Hasilnya Perbelanjaan Mengurus telah mencatatkan perbelanjaan sebanyak RM877.84 Juta atau 73.15 peratus daripada jumlah RM1,200.00 juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020. Manakala Perbelanjaan Pembangunan pula telah mencecah RM574.04 Juta atau 50.67 peratus daripada jumlah RM1,333.00 Juta yang telah diperuntukkan dalam Belanjawan 2020.

Lampiran

Tiada Lampiran.