Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

1) PRESTASI KEWANGAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan prestasi kewangan terkini Negeri Selangor dari segi jumlah dalam Akaun Bersatu (Consolidated Fund) dan dalam simpanan

    Saya ingin menjawab soalan yang dikemukakan daripada YB Bukit Lanjan (soalan nombor 1), YB Sijangkang (soalan nombor 180) dan YB Rawang (soalan nombor 251) yang bertanyakan soalan yang sama tentang prestasi kewangan Negeri Selangor sehingga pertengahan tahun 2019.

    YB Bukit Lanjan (soalan nombor 1) bertanyakan tentang prestasi kewangan terkini Akaun Bersatu (consolidated Fund) atau Kumpulan Wang Disatukan dan simpanan atau  rezab Kerajaan Negeri. Rezab adalah terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan, Akaun Amanah Disatukan dan Akaun Pinjaman Disatukan. Jumlah terkini rezab Kerajaan Negeri sehingga 30 Jun 2019 adalah sebanyak RM2,381.63 juta yang terdiri daripada Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM721.19 juta dan Akaun Amanah Disatukan sebanyak RM1,660.44 juta.  Manakala baki rezab pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM2,135.38 juta.

    Pada 30 Jun 2019, baki Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Negeri  mencatatkan pengurangan sebanyak 16.39% atau RM467 juta, iaitu berkurang daripada RM2,848.63 juta  kepada RM2,381.63 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

    Pada 30 Jun 2019, baki Akaun Hasil Disatukan merekodkan pengurangan dari RM1,615.44 juta kepada RM721.19 juta iaitu berkurang sebanyak 55.35% atau RM894.25 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2018.

    Sehingga Disember 2019, Kerajaan Negeri  telah membuat unjuran perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan  pembangunan yang keseluruhannya berjumlah RM2,640 juta manakala sasaran hasil adalah sebanyak RM2,200 juta  yang mana defisit tersebut akan dibiayai dengan menggunakan Akaun Hasil Disatukan.

    Oleh yang demikian, jika berdasarkan unjuran keseluruhan perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan iaitu sebanyak  RM2,640 juta berbanding unjuran hasil tahun 2019 RM2,200 juta, maka Kerajaan Negeri perlu mengambil langkah-langkah yang proaktif di dalam mengawal dan melaksanakan perbelanjaan.

    YB Sijangkang (soalan 180) dan YB Rawang (soalan 251) turut  bertanyakan soalan yang sama tentang prestasi kewangan  Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pertama tahun 2019 berbanding tahun 2018 dan prestasi pendapatan serta perbelanjaan sehingga pertengahan tahun 2019.

    Prestasi kewangan Kerajaan Negeri bagi tempoh 6 bulan pertama sehingga 30 Jun 2019 telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM1,424.32 juta iaitu 64.74% daripada sasaran hasil sebanyak RM2,200 juta. Manakala jumlah keseluruhan kutipan hasil pada tahun 2018 adalah sebanyak RM 1,998.52 juta.

    Prestasi perbelanjaan mengurus sehingga 30 Jun 2019, adalah berjumlah RM565.55 juta iaitu 44.18% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1,280 juta.  Secara perbandingannya perbelanjaan mengurus pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1,340.79 juta.  Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan mengurus sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 95% daripada jumlah peruntukan.

    Prestasi perbelanjaan pembangunan sehingga 30 Jun 2019 adalah RM661.40 juta atau 51.67% daripada jumlah peruntukan sebanyak RM1,280 juta. Secara perbandingannya perbelanjaan pembangunan pada tahun 2018 adalah sebanyak RM1,427 juta. Kerajaan Negeri membuat unjuran perbelanjaan pembangunan sehingga Disember 2019 adalah sebanyak 90% daripada jumlah peruntukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.