Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

5) PRESTASI PENGERUSI MPKK

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi pengerusi MPKK di setiap kampung sebagai agen penggerak kerajaan dinilai keberkesanannya?

    Pengerusi MPKK adalah merupakan ketua Kampung yang dilantik oleh Kerajaan Negeri untuk memimpin dan mengetuai sesuatu kampung di Negeri Selangor. Di antara peranan penting Ketua Kampung ini adalah untuk memperjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri perpaduan dan keharmonian masyarakat desa dapat dipupuk.

    Ketua Kampung juga bertanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan keperluan kampung, selaras dengan arahan Kerajaan Negeri. Oleh itu, usaha untuk memperjelaskan dasar-dasar Kerajaan Negeri dapat disampaikan dengan baik. Dasar-dasar Kerajaan Negeri juga dapat direalisasikan dan diterapkan semasa perancangan serta pelaksanaan urusan pentadbiran dan operasi dalam konteks :

    1. Mengenal pasti dan merancang projek-projek pembangunan masyarakat yang boleh meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk di dalam kampung selaras dengan dasar-dasar yang ditetapkan;
    2. Menyusun keutamaan projek-projek yang hendak dilaksanakan; dan
    3. Menyedia, mengemaskinikan dan mempamerkan maklumat serta data-data Profil Kampung.

     

    Prestasi Ketua Kampung sebagai Pengerusi MPKK sebagai agen penggerak kerajaan akan dinilai keberkesanannya melalui beberapa kaedah seperti :

    1. Kekerapan pelaksanaan mesyuarat di peringkat MPKK;
    2. Bilangan kehadiran mesyuarat bersama agensi kerajaan;
    3. Bilangan kehadiran ke majlis rasmi Kerajaan Negeri di peringkat negeri dan daerah;
    4. Kerjasama kepada jabatan/agensi; dan
    5. Program-program yang dilaksanakan di kampung masing-masing.

     

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Penarafan Bintang (Star Rating) untuk jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi menilai prestasi mereka. Sistem ini diperkenalkan sebagai penilaian kelayakan perkhidmatan seseorang Ketua Kampung itu sama ada akan disambung atau ditamatkan.

    Kerajaan Negeri melihat pelaksanaan Star Rating ini bukan sekadar untuk menilai kecekapan Ketua Kampung semata-mata, namun sebaliknya turut membantu Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti kelemahan pentadbiran yang boleh ditambah baik menerusi latihan serta kursus.

    Terdahulu, penilaian sesebuah MPKK hanya memberi focus kepada tiga (3) kategori iaitu penubuhan MPKK, laporan minit mesyuarat dan kewangan. Walau bagaimanapun, penilaian masa hadapan akan turut melihat kepada sepuluh segmen tambahan, antaranya penyediaan data kampung, pengurusan dan penganjuran program pembinaan serta ekonomi dalam mengatasi kemiskinan. Star Rating ini akan melihat dan menilai kesemua segmen tersebut di mana proses penilaian akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta jawatankuasa yang dilantik.

Lampiran

Tiada Lampiran.