Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

82) PRESTASI PENJAWAT AWAM SELANGOR

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan prestasi penjawat awam berada di tahap terbaik?

    Antara langkah-langkah yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan prestasi Penjawat Awam di Negeri Selangor berada di tahap terbaik adalah seperti berikut:

    • memberikan latihan-latihan peningkatan kemajuan kerjaya kepada semua Penjawat Awam Negeri Selangor. Ini bertujuan bagi melahirkan Penjawat Awam yang kompeten dan mempunyai nilai tambah agar lebih diterima bagi menyandang jawatan-jawatan yang lebih tinggi demi kemajuan kerjaya di masa akan datang.
    • menyediakan pinjaman boleh ubah kepada Penjawat Awam Kumpulan Pengurusan dan Profesional untuk melanjutkan pelajaran peringkat Sarjana secara sambilan di bawah Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor;
    • menaikkan pangkat secara Khas Untuk Penyandang (KUP) bagi anggota Kumpulan Pelaksana Gred 1-40 selepas 13 tahun berkhidmat di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM). Inisiatif ini mampu meningkatkan jumlah emolumen bulanan dan motivasi kerja anggota yang berkenaan;
    • menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2013, gaji minimum anggota perkhidmatan awam secara keseluruhannya telah dinaikkan dengan mengambil kira perkembangan keadaan ekonomi semasa. Selain itu, kelayakan minimum pelantikan anggota perkhidmatan awam juga telah dinaikkan ke Penilaian Menengah Rendah (PMR) daripada Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR);
    • menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2016, di mana Kerajaan antara lain telah bersetuju menyeragamkan gred, menambah baik Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM) dan memberikan faedah pemindahan gaji bersamaan satu (1) Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) kepada semua Penjawat Awam termasuk lantikan Contract of Service (CoS);
    • menerima pakai Surat Edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung Panduan Pengambilan Pegawai Kontrak (Contract Of Service) Untuk Tujuan Pelantikan Tetap bagi pegawai lantikan Contract of Service (CoS) yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun berkuat kuasa mulai 1 Julai 2016. Keputusan ini adalah atas dasar keprihatinan Kerajaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti pegawai;
    • melaksanakan amalan 5S di semua ruang kerja jabatan dan bahagian di bawah Kerajaan bagi memastikan semua penjawat awam bekerja dalam keadaan kondusif dan produktif;
    • melaksanakan pensijilan MS ISO bagi prosedur-prosedur tertentu di setiap jabatan dan bahagian di mana ia akan memudahkan penjawat awam melaksanakan tugasan kerana adanya standard template dan peraturan yang seragam. Melalui pensijilan tersebut, penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih licin dan teratur;
    • menganugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi kerja cemerlang di mana mereka diberikan insentif dalam bentuk Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM1,000.00 dan sijil penghargaan; dan
    • insentif pemberian komputer tablet dan telefon bimbit kepada semua pegawai Gred 41 dan ke atas bagi memudahkan urusan kerja sekiranya berada di luar daripada pejabat.

Lampiran

Tiada Lampiran.