Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

173) PROGRAM AIR PERCUMA

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pihak Kerajaan Negeri akan tetap melaksanakan penjajaran semula Program Air Percuma dengan memfokuskan kepada golongan B40 semata-mata seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan Negeri 2019?

    Saya pohon izin Y.B. Tuan Speaker untuk menjawab bersekali kesemua soalan berkenaan Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu yang telah ditanyakan oleh Yang Berhormat Sungai Panjang (Soalan No. 123),  Yang Berhormat Kota Anggerik (Soalan No. 173), Yang Berhormat Templer (Soalan No.179), Yang Berhormat Balakong (Soalan No. 225) dan Yang Berhormat Bandar Utama (Soalan No. 270).

     

    Untuk makluman Yang Berhormat semua, Program Pemberian Air Percuma 20 meter padu memang telah dilaksanakan bermula pada 01 Jun 2008 dan masih berjalan seperti sedia kala.  Sepanjang pelaksanaan program ini, Kerajaan Negeri telah memberikan kemudahan ini kepada semua penduduk Negeri Selangor tanpa mengira lapisan masyarakat dan pendapatan walaupun matlamat asal Program ini adalah bertujuan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk semua lapisan masyarakat khususnya kepada golongan berpendapatan rendah di seluruh Selangor.

     

    Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan cadangan Penjajaran Semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Untuk Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma seperti berikut:-

     

    • Isi padu air percuma di Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma dinaikkan daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu;

     

    • Penjajaran semula Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma dikuatkuasakan pada 01 Julai 2019 bagi melengkapkan data pengguna oleh Air Selangor. Pengguna yang layak menerima air percuma sebanyak 25 meter padu ini adalah daripada kalangan Kategori B40 yang berdaftar dalam rekod E-Kasih;

     

    • Pendaftaran berterusan E-Kasih akan dilaksanakan bagi pengguna yang belum didaftarkan;

     

    • Kadar minimum pendapatan isi rumah bagi Penjajaran Semula Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Untuk Program Pemberian 20 Meter Padu Air Percuma ditetapkan pada RM2,000.00 sebulan; dan

     

    • Penjelasan terperinci hendaklah diberikan kepada rakyat Negeri Selangor melalui public engagement yang dibuat oleh Air Selangor melibatkan semua Ahli Dewan Negeri Selangor, Penghulu dan Ketua Kampung menerusi Pejabat Tanah dan Daerah, Ahli-ahli Majlis dan JMB menerusi Pihak Berkuasa Tempatan.

     

    Bermula dari 01 Julai 2019, Program Pemberian Air Percuma ini hanya akan diberikan khusus kepada golongan sasar dalam kumpulan B40 yang berdaftar dengan E-Kasih. Golongan pendapatan isi rumah B40 adalah merujuk kepada pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM6,180.00  (bagi Negeri Selangor) berdasarkan kepada rekod Penyiasatan Pendapatan Isi rumah dan Kemudahan Asas (PPIR&KA) 2016, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).  Kumpulan isi rumah B40 juga termasuk isi rumah miskin yang berpendapatan bulanan kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sebagaimana yang ditetapkan dalam Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2016, Kementerian Ekonomi Malaysia (MEA), iaitu  nilai PGK nasional adalah RM980.00 sebulan.

     

    E-Kasih adalah satu pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan yang mana semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 (Bandar) atau RM1,000 (Luar Bandar) sebulan adalah digalakkan mendaftar. Data E-Kasih ini merangkumi profil individu, program/bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) mengikut Penetapan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri Selangor iaitu RM1,500.

     

    Di dalam melaksanakan penjajaran semula Program Pemberian Air Percuma ini,  Kerajaan Negeri bersama-sama dengan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) akan melaksanakan padanan (intergrasi)  data E-Kasih dengan rekod akaun pengguna domestik Air Selangor.   Melalui semakan awal, dianggarkan terdapat 13,000 nama yang layak untuk mendapat manfaat di bawah Program ini.

     

    Bagi nama-nama yang tidak ada dalam E-Kasih, semakan akan dibuat menggunakan data penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  Mengikut rekod  BSH data tahun 2018, dianggarkan seramai 400,000 nama layak mendapat manfaat Program Pemberian Air Percuma ini, namun padanan data akan dilaksanakan dengan rekod akaun pengebilan di Air Selangor.

     

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri memohon kerjasama dari semua Ahli-ahli Yang Berhormat supaya dapat menggalakkan semua pengguna yang layak untuk mendaftar dengan EKasih dan LHDN bagi memastikan mereka boleh secara automatik menikmati Program Air Percuma ini.

     

    Kerajaan Negeri juga sedang membangunkan data bank bagi penerima IPR ini melalui sistem Smart IPR untuk memastikan semua penerima yang layak menerima insentif IPR ini tidak dipinggirkan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.