Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

172) PROGRAM BANTUAN BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri bersedia mengeluarkan garis panduan untuk menambahbaikkan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan?

    Paras Garis Kemiskinan bagi negeri Selangor secara dasarnya telah ditetapkan sebanyak RM1,500.00 seisi rumah melalui keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 1/2009 pada 7 Januari 2009. Di antara program utama bawah Jawatankuasa Tetap Kemiskinan yang dijalankan dalam usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk membasmi kemiskinan adalah Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan. Program tersebut bertujuan membantu meningkatkan taraf ekonomi dan taraf hidup golongan berpendapatan rendah menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.

    Kerajaan Negeri amat prihatin dalam meringankan beban rakyat terutamanya yang melibatkan golongan berpendapatan rendah. Justeru itu, Kerajaan Negeri bersedia menambahbaik Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dari semasa ke semasa sekiranya terdapat cadangan-cadangan atau syor-syor penambahbaikan. Selain itu, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan juga akan membuat kajian secara menyeluruh bagi menambahbaik program ini dalam memastikan golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dapat dibantu sejajar dengan peningkatan taraf hidup dan perkembangan ekonomi semasa serta berupaya menghasilkan impak positif dan berkesan secara berterusan.

Lampiran

Tiada Lampiran.