Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

48) PROGRAM BELIA DI KAWASAN LUAR BANDAR

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan dan program belia yang telah dilaksanakan di kawasan luar bandar?

    Bagi tahun 2013, peruntukan program bagi Pembangunan Belia di Negeri Selangor adalah sebanyak RM3.5 juta yang mana telah merangkumi program di peringkat negeri, Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) dan seterusnya Penggerak Belia Tempatan. Peruntukan ini  juga digunakan dalam menjalankan program di peringkat zon dan kawasan Pihak Berkuasa Tempatan(PBT) sama rata sama ada di kawasan bandar mahupun luar Bandar. Ini bermakna,  kerajaan negeri tidak mengkhususkan peruntukan kepada pembangunan luar bandar sahaja malahan di seluruh kawasan termasuk di kawasan Bandar.

    Walaubagaimanapun, perancangan dan perlaksanaan program yang telah dirancang dan diatur bersama-sama Pengerusi-pengerusi zon PeBT diteliti bagi memenuhi keperluan, minat dan budaya di kawasan masing-masing serta tidak bergantung pada taraf kehidupan, sosial dan bangsa. Pendekatan terbaik ini secara tidak langsung diambil oleh kerajaan negeri untuk mengenali golongan belia sama ada di kawasan bandar dan juga di kawasan luar bandar.  Ini menggambarkan kerajaan lebih praktik dalam menjaga kebajikan belia serta tidak memilih golongan-golongan tertentu dalam membangunkan anak muda di negeri ini. Selain itu, suara dan pendapat belia dapat didengari dengan lebih baik dan program yang dilaksanakan akan menjadi lebih bermanfaat.

    Jika pembangunan belia di kawasan luar bandar dan kampung dilihat tidak seimbang berbanding di kawasan bandar, ini adalah tidak benar kerana mengikut statistik dan peruntukan yang telah diberi bagi suku tahun pertama Januari-Mac 2013, program yang telah dijalankan seimbang dan tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja. Rata-rata program yang dijalankan di seluruh pelosok negeri dan telah mendapat sambutan yang amat baik samada program di peringkat negeri mahupun di peringkat Penggerak Belia Tempatan(PeBT)-PBT.

    Sebahagian rancangan dan program yang telah dijalankan di kawasan luar bandar adalah: Peringkat negeri:

    • Fiesta Sukan Untuk Semua Di Dewan Dato’ Hormat, Tg. Karang
    • SMR Track Days Dan Himpunan 1000 Bikers di Stesen Bus Lama Tg Karang

    Peringkat PeBT-PBT:

    • Revolusi Mania Selangorku Parlimen Subang di Padang Awam, Paya Jaras
    • Cinta Rasul, Jom Maulid di Dataran Morib
    • Festival Kebudayaan Ponggal di Pantai Morib
    • Himpunan Anak Muda Sabak Bernam di Sbcc & Batu 40, Sabak Bernam
    • Pertandingan Memancing Pebt Mdsb di Pantai Sg. Labu, Sekinchan
    • Kembara Ilmu Anak Muda Selangorku di Sg. Besar – Pantai Morib
    • Bersantai Bersama Belia Hulu Selangor di Kg. Asam Kumbang Kkb
    • Jom Mengail Siakap di Kolam Siakap Batu 30, Batang Kali
    • Semenyih Walk Hunt di Pekan Semenyih
    • Santai Bersama Orang Asal Kuala Ponson di Kg. Kuala Ponson, Dusun Tua
    • Pertandingan Selangorku Futsal Mania Dan Ladies Walk Hunt di Kg. Labu Lanjut Sepang
    • Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Dan Play Station di Pdg Bola Sepak, Tmn Dengkil Jaya
    • Jom Mengail 2013 di Kolam Batu Menangis, Kg. Sg Merab Ulu Sepang
    • Pebt Sepang Track Day di Salak Tinggi

    Mencari Harta Karun di Kg. Bt 14 Puchong – Kg. Org Asli Sg Rasau Hilir Puchong

Lampiran

Tiada Lampiran.