Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016

34) PROGRAM HIJRAH

Tahun: 2016

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan secara terperinci jumlah peruntukkan Kerajaan Negeri untuk menjayakan Program Hijrah pada tahun 2016?

    Yayasan Dar Al Qard Al Hasan telah bertukar nama kepada Yayasan Hijrah Selangor dan telah mendapat kelulusan daripada pihak SSM pada 23hb Disember 2015. HIJRAH SELANGOR adalah program Mikrokredit Bersepadu gagasan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Haji Mohamed Azmin Ali. Program ini telah dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 24 Mac 2015. Tujuan utamanya adalah untuk melebarkan golongan kelas menengah di Negeri Selangor, sepertimana yang divisikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar dalam ucapan belanjawan beliau pada 24 November 2014. Hasrat ini diharapkan boleh tercapai melalui pendekatan pelaksanaan sistem penyaluran modal tambahan yang efisien kepada peniaga-peniaga kecil di negeri

     

    Pihak Yayasan Hijrah Selangor ditugaskan untuk mewujudkan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang didapati seringkali menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan atas pelbagai faktor.

     

    Falsafah Program HIJRAH SELANGOR berteraskan konsep ”Pinjaman Asas Simpanan”. Maksudnya, pinjaman yang diberikan digunakan sebagai modal tambahan dalam urusan perniagaan. Sebagai usahawan yang berdaya maju, adalah diharapkan dapat menghasilkan pulangan yang lebih tinggi. Lebihan pulangan ini, akan ditabungkan dalam Tabung HIJRAH SELANGOR, untuk manfaat penjaja dan peniaga kecil secara individu mahupun kelompok.

     

    Pihak kerajaan Negeri Selangor bertindak sebagai penganjur program. Pada tahun 2015, pihak Kerajaan Negeri telah memperuntukkan modal pusingan bagi pelaksanaan program Hijrah Selangor sebanyak RM 100,000,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Juta). Manakala pada tahun 2016, Kerajaan Negeri akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM31 Juta untuk meluaskan program Hijrah Selangor dengan mensasarkan golongan khusus seperti ibu tunggal, asnaf, belia, penerima bantuan blueprint, orang kelainan upaya dan khariah masjid.

     

    Justeru, Hijrah Selangor telah memulakan pengenalpastian golongan khusus yang akan difokuskan untuk menerima bantuan tersebut. Antaranya senarai blueprint telah diterima dari pihak UPEN dan sedang dijalankan proses siasatan & penggalakan memohon modal tambahan untuk memajukan projek yang dilaksanakan. Senarai penerima bantuan zakat yang telah berjaya dikeluarkan dari golongan asnaf oleh pihak Lembaga Zakat Selangor juga sedang dikenalpasti. Senarai golongan ibu tunggal telah diminta daripada pihak PWB untuk ditawarkan projek-projek dan latihan-latihan yang bersesuaian dengan kemampuan dan minat masing-masing.

     

    Seterusnya, Hijrah Selangor telah mengenalpasti beberapa syarikat yang akan dilantik untuk menjadi Anchor Company bagi menjayakan program pengembangan ini. Anchor Company yang dilantik berperanan untuk menyediakan peralatan untuk projek yang akan dilaksanakan serta dipertanggungjawabkan memantau kemajuan projek sekurang-kurangnya enam

    (6) bulan. Pemantauan ini adalah bagi memastikan setiap peserta dapat menjana pendapatan dari projek yang dijalankan dan seterusnya mampu membayar balik pinjaman Hijrah Selangor dengan sempurna.

Lampiran

Tiada Lampiran.