Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

133) PROGRAM IKATAN DESA

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan kampung-kampung yang telah menjalankan program ini.

    Terdapat pelbagai isu seperti kes pecah rumah, kecurian, kehilangan kenderaan, kehilangan harta benda, ancaman bunuh, rogol, dan sebagainya sering dilaporkan di media massa dan elektronik. Masyarakat kini dilihat semakin terdesak dengan kegawatan ekonomi semasa demi kelangsungan hidup menyebabkan perkara-perkara seperti yang dinyatakan berlaku dengan berleluasa.

    Begitu juga apabila berlaku musibah yang tidak diingini seperti kemalangan, kecederaan, kebakaran dan sebagainya, tindakan awal daripada orang ramai amatlah perlu sebelum pihak yang berkuasa seperti ambulan dan bomba sampai ke tempat kejadian.

    Kerajaan Negeri Selangor melihat keperluan diwujudkan satu pasukan bantuan untuk menangani masalah ini.  Justeru itu Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu pasukan yang lebih efektif dan diberi nafas baru dengan menjenamakan semula program Pasukan Keselamatan Kejiranan (PKK) yang pernah ditubuhkan pada tahun 2013 kepada satu program yang dinamakan sebagai Program Ikatan Desa.

    Objektif pelaksanaan Program Ikatan Desa adalah seperti berikut:

    • Membekalkan anggota dengan peralatan yang bersesuaian dengan tugasan;
    • Melatih anggota daripada aspek keselamatan akan teknik-teknik rondaan, mengawasi kediaman penduduk kampung dari aspek memperkemas dan mempertingkatkan keselamatan rumah dan juga melatih anggota teknik mempertahankan diri;
    • Melatih anggota dari aspek perubatan asas untuk memberikan bantuan bantu mula perubatan sementara menunggu bantuan ambulan tiba atau dibawa ke hospital; dan
    • Melatih anggota daripada aspek kebakaran teknik mengawal kebakaran sebelum jentera bomba tiba.

    Pasukan ini akan dilatih melalui tiga (3) komponen penting iaitu:

    • Kawalan keselamatan kampung yang meliputi aspek keselamatan orang awam, rumah, bangunan awam dan kesejahteraan penduduk kampung;
    • Khidmat bantuan mula perubatan, dan
    • Kawalan kebakaran.

    Semua 371 buah kampung akan terlibat di dalam program ini di mana latihan dijangka akan bermula pada September 2017 dan peralatan akan diagihkan kepada ahli Ikatan Desa pada November 2017.

Lampiran

Tiada Lampiran.