Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

3 September 2018 hingga 7 September 2018

21) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2018

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan bersedia untuk meningkatkan jumlah bayaran Jom Shopping dari RM100 kepada RM150 seorang atas sebab peningkatan harga barang?

    Program Pemberian Bantuan Secara Baucer untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil pendekatan “peduli rakyat” dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam pelbagai dimensi dengan memberi manfaat kepada semua rakyat tanpa mengira etnik. Dalam memastikan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, Kerajaan Negeri mengalu- alukan sebarang syor atau cadangan penambahbaikan program.

    Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil perhatian akan cadangan menaikkan nilai baucer daripada RM100.00 kepada RM150.00 bagi program ini. Untuk makluman, jumlah perbelanjaan tahunan bagi program ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Sebagai contoh, bagi tahun 2017 sahaja, jumlah perbelanjaan dengan nilai RM100 per baucer adalah sebanyak RM8,311,000.00. Berdasarkan rekod, jumlah perbelanjaan bagi program ini sejak ianya mula dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga 24 Ogos 2018 adalah sebanyak RM44,837,700.00. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan program-prgram bantuan lain seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pada tahun 2018, di mana setiap keluarga menerima bantuan makanan asas sebanyak RM2,400 setahun atau RM200 sebulan melalui pembelian di pasaraya dan kedai runcit terpilih. Program tersebut turut melibatkan peruntukan yang tinggi iaitu berjumlah RM96,000,000.00.

    Oleh yang demikian, cadangan untuk menaikkan nilai setiap baucer daripada RM100 kepada RM150 ini dijangka akan melibatkan komitmen kos yang lebih tinggi serta ianya dilihat perlu diteliti semula secara terperinci bagi melihat jangkaan impak/ kesan pelaksanaannya.

Lampiran

Tiada Lampiran.