Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

81) PROGRAM JOM SHOPPING

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Memandangkan program ini telah mendatangkan komen yang tidak dapat memuaskan semua penduduk di DUN masing-masing dan sering berlaku pertengkaran antara pegawai pusat khidmat dan penduduk, adakah Kerajaan akan menukar kepada program yang lebih mendatangkan imej yang baik kepada Kerajaan Selangor?

    Saban tahun menyaksikan Kerajaan Negeri Selangor memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu dalam usaha memberi manfaat berterusan kepada rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya golongan yang masih berada di dalam kitaran kemiskinan. Untuk itu, Kerajaan Negeri melihat bahawa langkah meneruskan kesinambungan “peduli rakyat” melalui pelaksanaan Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) merupakan penyelarasan yang tepat dalam mengupayakan taraf sosio ekonomi rakyat. Program-program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang telah menjadi sanubari kepada rakyat Selangor ini akan terus diperkukuh dan dipelbagai oleh Kerajaan Negeri.

    Antara inisiatif di bawah Progam IPR adalah Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping. Program tersebut merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi yang bermatlamat meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Melalui program ini, setiap keluarga yang kurang berkemampuan berpeluang membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali. Dengan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat, program ini merupakan salah satu daripada empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mengutamakan kebajikan rakyat serta memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

    Selain daripada program ini, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan pelbagai program bantuan kebajikan yang lain seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) yang mempunyai matlamat yang sama dalam menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

    Dalam memastikan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, Kerajaan Negeri menyambut baik dan mengalu-alukan sebarang syor atau cadangan dalam menambah baik pelaksanaan program. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri akan melihat semula keperluan pelaksanaan Program Jom Shopping pada masa akan datang samada ianya masih relevan untuk diteruskan di samping memastikan setiap peruntukan bagi setiap inisiatif yang dirangka adalah sejajar dan bersesuaian dengan prestasi kewangan negeri serta senario ekonomi semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.