Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

111) PROGRAM KEUSAHAWANAN SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah dan inisiatif yang diberikan kepada golongan belia dan ibu tunggal untuk mula berniaga?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Program Pembangunan Usahawan Selangor tidak mensasarkan golongan tertentu malah ia terbuka kepada semua golongan usahawan termasuklah belia dan ibu tunggal untuk meningkatkan diri, perniagaan dan menjana ekonomi keluarga. Berikut merupakan insentif yang disediakan :

    DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

    Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan mendapat manfaat daripada bantuan ini.

     

    • Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak. Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Skop bantuan adalah seperti berikut:
    • Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
    • Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;
    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di negeri Selangor.

    PAMERAN/EKSPO

    Program ini bertujuan untuk mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor dimana Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan akan menyertai ekspo dan pameran diperingkat tempatan dan juga antarabangsa.  Antara ekspo dan pameran yang disertai oleh Kerajaan Negeri adalah seperti Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Business Summit (SIBS) dan Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor.

    KURSUS/LATIHAN 

    Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus untuk usahawan diperingkat permulaan bagi memberi pendedahan dari segi persiapan produk untuk menembusi pasaraya tempatan dan antarabangsa.   Modul kursus terdiri daripada asas perniagaan dan kewangan, penjenamaan produk, pensijilan produk serta pemasaran online dan ke rangkaian pasaraya.

    PROGRAM PEMBUNGKUSAN PRODUK MADE IN SELANGOR

    Kerajaan Negeri juga menyediakan Program Pembungkusan Produk Made In Selangor (MIS) kepada usahawan yang sudah bersedia untuk mempertingkatan mutu pembungkusan dan pensijilan produk.  Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, rekabentuk jenama, pendaftaran jenama (MyIPO) dan cetakan pembungkusan yang diperbaharui.

    PINJAMAN MIKROKREDIT HIJRAH SELANGOR

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015.  Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu.

Lampiran

Tiada Lampiran.