Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

171) PROGRAM KHUSUS PENTERNAK, PETANI DAN NELAYAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program-program khusus kepada penternak, petani dan nelayan di Negeri Selangor bagi meningkatkan ekonomi mereka?

    Sektor Pertanian adalah merupakan sektor utama yang diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri khususnya bagi meningkatkan bekalan makanan dan juga pendapatan golongan petani, penternak dan nelayan. Sehubungan dengan itu, Dasar Pertanian Negeri Selangor telah diwujudkan bagi memastikan ianya boleh dicapai. Dasar tersebut merangkumi perkara-perkara seperti berikut :-

    1. Pertanian Bernilai Tinggi;
    2. Pemodenan Pertanian;
    3. Pemasaran;
    4. Pembangunan Agropreneur; dan
    5. Agro Pelancongan.

     

    Bagi memastikan dasar tersebut dapat dicapai, satu garis panduan telah telah diwujudkan iaitu Pelan Trasformasi Pertanian Agro Selangor atau PeTA yang merangkumi 6 perkara penting iaitu :-

    1. Dasar Pertanian Negeri Selangor;
    2. Sasaran;
    3. Inisiatif;
    4. Sumber;
    5. Gari Masa (Timeline); dan
    6. Peruntukan

     

    Dengan wujudnya dasar dan pelan transformasi tersebut, ianya dijangka akan dapat mempertingkatkan hasil pengeluaran dan seterusnya meningkatkan pendapatan golongan tersebut. Antara program-program yang telah dilaksanakan dan dirancang untuk dilaksanakan adalah seperti berikut :-

    1. Program Peningkatan Hasil iaitu program berbentuk pemberian bantuan seperti peralatan, input-input pertanian dan baka ternakan serta penambahan tukun dan unjam di lautan;
    2. Program Pemodenan Pertanian yang merangkumi penggunaan drone dan sistem Internet Of Thing (IoT) serta penggunaan baja-baja organik yang boleh meningkatkan hasil dan dalam masa yang sama boleh mengekalkan kelestarian;
    3. Program Pemasaran yang bertujuan untuk meningatkan nilai jualan dan mengurangkan kos kepada pembeli seperti Program Selangor Agro Market (SAM);
    4. Program Pembangunan Agropreneur iaitu program bagi memperkasakan golongan petani, penternak dan nelayan sedia ada di dalam meningkatkan hasil dan juga mewujudkan lebih ramai golongan tersebut di kalangan generasi muda; dan
    5. Program Agro Pelancongan iaitu sebuah program yang bermatlamat untuk meningkatkan hasil pendapatan golongan tersebut melalui aktiviti sampingan seperti sport fishing.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.