Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

79) PROGRAM MEMBANTU USAHAWAN SELANGOR

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan program-program yang masih boleh dimohon atau bakal dibuka bagi membantu usahawan-usahawan Selangor, terutamanya pada musim pandemik ini?

    Kerajaan Negeri telah merangka beberapa insentif dan bantuan bagi mengurangkan impak kepada para usahawan di Negeri Selangor akibat pandemik Covid19.  Antara program dan insentif yang masih boleh dimohon adalah seperti berikut:

    i. Selangor Advance

    Selangor Advance ialah program yang memberi kemudahan aliran tunai dan modal operasi pembekal/penyedia perkhidmatan yang berurusan dengan pihak Kerajaan Negeri Selangor, agensi dan kumpulan GLC Selangor sahaja. Kaedah yang dilaksanakan adalah melalui kemudahan pembiayaan pemfaktoran-i.  Para pembekal / penyedia perkhidmatan tersebut boleh memohon untuk menyertai program secara atas talian di www.selangoradvance.com.my dan boleh mula memohon untuk pembayaran awal atas nilai invois setelah mendapatkan kelulusan untuk mengambil bahagian. Menteri Besar Incorporated (MBI) adalah urusetia bagi program ini.

     

    Selain itu Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah dana setiap tahun bagi memperkasakan dan melahirkan usahawan berjaya di dalam Negeri Selangor. Sebahagian permohonan bantuan ini diproses sepanjang tahun dan mengikut proses kelulusan. Antara program yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

    i. Geran Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)

    Bantuan ini diberikan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di Negeri Selangor. Dana ini merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.  Setiap tahun sekurang-kurangnya 100 usahawan menikmati manfaat daripada bantuan ini.

    Setiap daerah diperuntukkan sebanyak RM250,000.00 untuk program bantuan DUMS.  Setiap pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang ditetapkan berpeluang untuk dipertimbangkan untuk menerima bantuan sehingga RM30,000.00.  Syarat-syarat kelayakan adalah seperti berikut:

    • Rakyat Negeri Selangor atau pun yang telah bermastautin lebih daripada 10 tahun;
    • Perusahaan dijalankan di Negeri Selangor;
    • Berumur antara 18 – 55 tahun;
    • Nilai jualan kurang daripada RM300,000.00 atau bilangan pekerja 2-5 orang;
    • Perusahaan telah dan masih beroperasi sekurang-kurangnya 2 tahun;
    • Perusahaan dijalankan sepenuh masa; dan
    • Perusahaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

     

    ii. Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    Bantuan ini merupakan sebahagian daripada 33 Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) Kerajaan Negeri Selangor untuk mengupayakan masyarakat keluar daripada kitaran kemiskinan. Program ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi.

    Matlamat utama program ini ialah untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.  Program bantuan ini  terbuka kepada semua pemohon yang menepati syarat dan kelayakan yang telah ditetapkan.

    iii. Pensijilan Halal Negeri Selangor

    Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin mendapatkan pensijilan halal produk dan meningkat daya saing dan pasaran produk. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

    iv. Program Peningkatan Pembungkusan

    Program ini terbuka kepada usahawan yang ingin meningkatkan mutu pembungkusan bagi menembusi pasaraya rantaian dan pasaran eksport. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri.

     v. Latihan Keusahawan

    Antara rangka kursus yang dijadualkan dan masih berjalan adalah siri latihan keusahawanan secara atas talian dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN).  Selain itu, UPEN sedang merangka penganjuran latihan di dewan seminar memandangkan penurunan kes COVID19 dan aktiviti ekonomi  telah dibenarkan mengikut garis panduan yang ditetapkan. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti INSKEN, MARA, HIJRAH SELANGOR dan Bahagian Pembangunan Usahawan, PKNS.

    vi. Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan.  Di samping itu, ianya dapat membantu usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana ekonomi. Peserta terlibat akan diberikan latihan dan pengupayaan kepakaran, penyediaan cadangan projek, pengurusan pemasaran dan kewangan.

    Antara modul yang telah dirangka ialah latihan kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung kepada industri yang terpilih. Sepanjang tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju. Program ini dikendalikan oleh Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Unit Perancang Ekonomi Negeri dengan kerjasama HIJRAH SELANGOR.

    vii. Pinjaman Mikrokredit Hijrah Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015.  Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010.  Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan.  Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 – 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.