Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

46) PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR (MES)

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah pencapaian program MES sehingga Disember 2008?

    Sebagai makluman, pencapaian 7 program di bawah Agenda MES Fasa 1 sepanjang tahun 2008 yang lalu adalah seperti berikut :

    • Bekalan Air Percuma Bagi 20 Meter Padu

    Dianggarkan seramai 1.5 juta pengguna meter individu penduduk di Selangor telah menikmati kemudahan ini yang telah membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi rakyat Selangor. Program ini merupakan dasar pemberian bekalan air percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik yang bermeter individu setiap bulan yang telah dilaksanakan bermula 1 Jun 2008 dan masih dinikmati oleh rakyat Selangor sehingga kini.

    • Program Peningkatan Hasil Batuan & Mineral

    Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) telah ditubuhkan oleh kerajaan negeri bagi menjalankan operasi penumpuan pada aktiviti perniagaan pasir. Peningkatan hasil batuan dan mineral yang berjaya dikumpulkan akan dilaburkan dan hasil keuntungan di agih dan diserah semula kepada rakyat melalui program-program kebajikan dalam pelaksanaan agenda MES. Bermula dari 15 September 2008 dan sehingga kini, sejumlah RM1.555 juta royalti telah diterima oleh Kerajaan Negeri hasil dari program ini.

    • Hadiah Anak Masuk Universiti

    Melalui dasar ini, hadiah RM1,000 akan diberikan kepada anak Selangor yang melanjutkan pengajian di IPTA/IPTS yang diiktiraf oleh kerajaan, sama ada di peringkat Diploma atau Ijazah Sarjana Muda dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah. Berkuatkuasa dari pengajian mulai Julai 2008, seramai 3,834 orang pelajar telah layak menerima manfaat ini.

    • Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)

    Susulan majlis pelancaran TAWAS yang telah diadakan pada Majlis Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Negeri Selangor pada 30 Ogos 2008 yang lalu, satu Majlis Penyerahan Sijil Simpanan TAWAS AmBank dan pelancaran Kad SiManja Tawas telah disempurnakan pada 7 Februari 2009 di rumah kediaman Dato’ Menteri Besar Selangor. Sehingga kini, seramai 3,000 bayi yang dilahirkan dari Januari 2008 telah didaftarkan ke TAWAS secara rasmi.

    • Skim Mesra Usia Emas

    Di bawah skim ini, sejumlah RM2,500 akan diberikan kepada waris warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor yang telah meninggal dunia. Sehingga kini, sejumlah RM9.7 juta telah disumbangkan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan menjayakan skim ini.

    • Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC)

    Pusat ini bertindak sebagai first respondent bagi membantu mereka yang teraniaya terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak yang terlibat dalam kes seperti rogol, liwat, gangguan seksual dan keganasan rumah tangga. Sebanyak RM600 ribu telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri dalam usaha penyediaan logistik dan promosi penubuhan OSCC ini.

    Sebanyak 6 buah hospital menyediakan perkhidmatan ini iaitu Hospital Ampang, Hospital Selayang, Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Kajang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

    • Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang

    Tabung ini diwujudkan bagi memberi bantuan pendidikan berupa biasiswa kepada anak-anak pekerja ladang bagi tujuan membiayai pendidikan mereka. Tabung ini juga turut memberi peranan bagi membiayai pembinaan dan penyelenggaraan asrama bagi anak-anak pekerja ladang diseluruh negeri Selangor. Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan untuk merealisasikan program ini.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.