Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

169) PROGRAM PEDULI RAKYAT

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah peruntukan kewangan yang telah dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan keluarga pendapatan di bawah RM3000.00 ke bawah

    Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri Selangor mempunyai dua program khas kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM3,000.00. Pertama adalah Skim Peduli Sihat yang menanggung kos rawatan di klinik swasta dengan kadar RM500.00 setahun bagi setiap keluarga. Kedua adalah Bantuan Sihat Selangor iaitu menanggung kos perubatan seperti rawatan dialisis, kos pembedahan, pembelian peralatan pembedahan, pembelian kanta mata bagi penyakit katarak, pembelian kaki palsu, pembelian lampin pakai buang serta susu kesihatan.

    Sehingga 16 November 2018, sebanyak RM33,064,828.88 telah dibelanjakan bagi menampung kos rawatan bagi Skim Peduli Sihat. Manakala bagi Bantuan Sihat Selangor, sebanyak RM2,3353,143.27 tuntutan bayaran telah disalurkan bagi menampung kos rawatan yang telah diluluskan.